Kindness Malaysia tubuh ‘School Of Kindness’ bantu pelajar keciciran

ALOR SETAR, 7 Okt : Nasib pelajar dari golongan kurang berkemampuan yang tercicir dalam pelajaran di negeri ini terbela apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kindness Malaysia,  mengambil inisiatif menubuhkan ‘School of Kindness’ yang mula beroperasi Januari lepas di sini.

 

Pengerusi Kindness Malaysia, Mohd Azrul Mohd Razak berkata, sekolah berkenaan beroperasi di tingkat dua rumah kedai di Taman Wira Mergong, yang mempunyai 24 pelajar berumur antara tujuh hingga 15 tahun dan empat tenaga pengajar.

 

“Idea untuk menubuh sekolah ini datang selepas kami menjalankan program membantu golongan yang memerlukan di mana kita lihat ramai pelajar miskin terbiar disebabkan oleh aspek kemiskinan atau masalah ibu bapa yang terlibat dengan dadah.

 

“Pemilihan pelajar pula diutamakan kepada golongan B40 yang tercicir dari sekolah dan ada pelajar yang umur 14 tahun masih tidak mengenal abjad. Buat masa ini, kelas berjalan setiap hari Sabtu bermula pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan subjek yang diajar adalah Bahasa Inggeris, Matematik, Asas Komputer dan kelas Qiraati,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 

Tiada sebarang yuran atau bayaran dikenakan kepada pelajar dan pihaknya turut menyediakan semua bahan pembelajaran seperti buku latihan, alat tulis dan menyediakan sarapan percuma kepada pelajar.

 

Mohd Azrul, yang mula terlibat dengan Kindness Malaysia sejak 2012, berkata kos untuk memulakan projek sekolah itu ialah RM15,000 yang datangnya dari dana pertubuhan, namun pihaknya masih berdepan dengan masalah kewangan untuk memastikan kelangsungan sekolah itu.

 

“Antara cabaran dalam menguruskan sekolah ini ialah masalah kewangan bagi membayar bil-bil utiliti, kos bahan bacaan dan bahan bantu mengajar, yang dianggarkan RM600 sebulan. Kita juga mempunyai masalah kekurangan tenaga pengajar kerana mereka adalah sukarelawan tanpa dibayar gaji dan terdiri daripada guru atau ahli perniagaan,” katanya.

 

Beliau berkata, perancangan masa hadapan untuk School of Kindness adalah memastikan lebih ramai pelajar kurang bernasib baik dapat dibantu dan kelas pembelajaran dapat dibuka setiap hari sekiranya mempunyai dana yang mencukupi.

 

Selain School Of Kindness, Kindness Malaysia mengadakan projek kemasyarakatan seperti membantu  golongan gelandangan, mengedarkan selipar serta menawarkan minyak petrol dan baju hujan secara percuma kepada orang ramai.

 

Berita selanjutnya