Kisah cinta dan pengorbanan Tun Dr Siti Hasmah diangkat ke filem

KUALA LUMPUR, 7 Okt : Kisah cinta dan pengorbanan lebih enam dekad isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bakal diangkat dalam sebuah filem biopik dan cinta berjudul  ‘Hasmah-Bila Deh Bertemu Det.’

 

Karya terbitan Tune Production Sdn Bhd., itu menyaksikan pelakon Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin melakonkan watak utama Dr Siti Hasmah dan Hasnul Rahmat sebagai Dr Mahathir.

 

Pengarah Urusannya, Hafiz Rozlan berkata filem berkenaan akan memulakan sesi penggambaran selama 65 hari bermula Mac depan yang melibatkan beberapa lokasi antaranya Perak, Kedah, Singapura, Kobe (Jepun) dan New York dan dijangka ditayangkan pada akhir tahun depan.

 

Beliau berkata filem berkenaan berpandukan kisah sebenar yang dilalui Dr Siti Hasmah sejak dari kecil, sekolah dan setiap babak yang dilakonkan tiada tokok tambahnya mahupun ditukar daripada senario sebenar.

 

“Filem ini berkisahkan biopik dan cinta tentang perjalanan kehidupan beliau (Dr Siti Hasmah), suka duka, pahit manis dan rintangan yang dilalui sebagai seorang isteri kepada perdana menteri,” katanya pada majlis prapelancaran filem berkenaan yang dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, di sini, hari ini.

 

Pada sidang media selepas itu, Hafiz berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan pengarah filem berkenaan kerana masih dalam proses menilai calon yang paling layak dan terbaik.

 

Menurutnya, filem tersebut dianggarkan menelan kos antara RM6 hingga RM7 juta.

 

“Untuk skrip pula sekarang dalam proses dan dijangka siap akhir bulan ini termasuklah kita semak dua kali dengan Dr Siti Hasmah sendiri mengenai cara beliau bercakap dan dialog dalam kisah itu.

 

“Selain menjadikan buku biografi (Dr Siti Hasmah) sebagai rujukan utama, kami juga akan bertanya pada beliau untuk menceritakan apa yang berlaku semasa beliau dengan Dr Mahathir yang kisahnya tiada dalam buku itu,” katanya.

 

Sementara itu, Nad beliau sendiri tidak percaya akan ditawarkan watak itu kerana sudah lama mengimpikan berlakon dalam genre biopik seperti itu dan menganggapnya sebagai cabaran yang besar apatah lagi melakonkan watak seorang tokoh negara.

 

“Setakat ini persediaan untuk saya melakonkan watak ini saya sudah masuk kelas biola sebulan lebih dan juga banyak menonton video-video wawancara Tun (Dr Siti Hasmah) serta juga membaca buku biografi beliau. Insya-Allah saya akan berjumpa dengan beliau dalam waktu terdekat untuk lebih mengenalinya,” kata beliau.

 

Sementara itu, Eddin Syazlee, berkata ,filem itu harus dilihat bukan sahaja daripada segi konteks kandungannya yang mengangkat sisi perjuangan wanita hebat sebagai isteri, pemimpin kepada rakyat namun kepentingan bergenre sebegini sebagai khazanah dan warisan kepada negara.

 

“Jika di luar negara karya-karya hebat yang mengangkat perjuangan Wanita Pertama seperti Jacqueline Kennedy Onassis (Jackie) (Amerika Syarikat), Maria Eva Duarte de Peron (Evita) (Argentina) dan Habibie dan Ainun (Indonesia) menjadi wadah visual yang ikonik, saya percaya filem ‘Hasmah-Bila Deh Bertemu Det’ seperti ini mampu diterima di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

 

Berita selanjutnya