UMP cipta peranti E-nose kesan punca pencemaran

KUANTAN, 7 Okt : Sekumpulan penyelidik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini berjaya mencipta peranti elektronik pengesan bau yang dinamakan Hidung Elektronik atau E-nose yang antara lain dapat membantu mengenal pasti punca pencemaran.

 

Dekan Pengkomersilan UMP Dr Nur Aainaa  Syafini Mohd Radzi berkata penghasilan E-nose yang bermula sejak Mei 2007 itu juga berupaya membantu sektor pertanian, industri kimia, kualiti makanan dan bidang forensik.

 

“Bau adalah salah satu kesan yang terhasil daripada tindak balas daripada kompaun organik yang meruap dan E-nose adalah peranti yang boleh mengesan kemeruapan bau yang tersebar hasil daripada operasi industri yang menghasilkan bau melalui kaedah pemetaan bau.

 

“E-nose menggunakan kaedah saintifik berdasarkan data yang konsisten dan tidak berat sebelah berbanding pakar bau terlatih yang mempunyai sensitiviti hidung berbeza atau mungkin berdepan limitasi masalah kesihatan,” katanya kepada Bernama di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Bio Aromatik di UMP Gambang di sini hari ini.

 

Nur Aainaa Syafini berkata E-nose akan bergantung kepada profil sampel bau yang disimpan pada perpustakaan data yang akan dihasilkan oleh UMP manakala lima model E-nose yang bercirikan ‘mobile’ memudahkan tugasan di lokasi dengan keputusan diperoleh serta-merta.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Bio Aromatik UMP, Profesor Madya Dr Saiful Nizam Tajuddin berkata E-nose telah berjaya menentukan punca bau tidak menyenangkan yang dihasilkan menerusi pemprosesan soya di Thailand, tahun ini.

 

Katanya UMP selaku konsultan diminta Sime Darby Plantation Research Sdn Bhd untuk mengesan bau tersebut bagi membolehkan mereka mengambil tindakan untuk mengatasinya memandangkan mereka tidak memperoleh jawapan konsisten berkaitan puncanya.

 

“Kilang pemprosesan soya itu beroperasi 24 jam dan terdapat empat proses yang perlu dilalui yang mana akhirnya E-nose dapat mengesan punca bau tersebut berlaku di peringkat akhir pemprosesan.

 

“Keputusan itu membolehkan pihak tersebut melakukan proses pemulihan dan daripada mengeluarkan belanja yang besar untuk kesemua mesin, mereka hanya perlu berbelanja pada mesin akhir yang amat menjimatkan,” katanya.

 

Selain itu, Saiful Nizam berkata E-nose juga boleh digunakan untuk menilai kesegaran minyak masak bagi menggantikan fungsi manusia yang menggunakan deria bau dan rasa jika dibuat secara manual.

 

Perkhidmatan E-nose juga menurut Saiful Nizam turut ditagih pengeluar minyak wangi terkemuka Dubai, Ajmal Perfumes bagi memastikan ketulenan minyak gaharu selain membantu mengesan kehadiran gaharu di dalam batang pokok bagi mengelakkan pokok ditebang secara sia-sia.

 

Berita selanjutnya