Ambank Islamic menang Anugerah Bank Pks Kewangan Islam terbaik Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Okt : AmBank Islamic Bhd dipilih sebagai Bank PKS Kewangan Islam Terbaik Malaysia 2019 pada Anugerah Kewangan Islam Terbaik Alpha Southeast Asia 2019, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Mengulas mengenai kemenangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata bank itu berbangga menerima anugerah tersebut kerana ia merupakan bukti peranannya sebagai penyedia kewangan utama yang terus menyokong pertumbuhan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

 

“Saya ingin mengambil kesempatan in untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan PKS kami atas sokongan mereka, dan kami di AmBank akan terus menawarkan penyelesaian holistik kepada semua pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic Eqhwan Mokhzanee berkata sebagai sebahagian daripada usahanya ke arah menjadi pengantara berasaskan nilai, agenda inklusi kewangan AmBank Islamic melangkaui daripada hanya penyediaan pembiayaan, di mana bank itu menyediakan platform bagi PKS untuk berangkaian dan membangunkan kapasiti menerusi AmBank Biz Series.

 

“AmBank Islamic juga menyediakan akses pembiayaan kepada segmen yang kurang diberi perkhidmatan seperti perniagaan pemula niaga menerusi program SME Biz Start-up-i kami dan merancang untuk memanfaatkan lagi teknologi bagi meningkatkan inklusi kewangan,” katanya.

 

Alpha Southeast Asia ditubuhkan pada 2007 dan merupakan satu-satunya majalah pelaburan institusi yang menumpukan kepada Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

Berita selanjutnya