Anggota polis jadi ‘bidan’ bantu wanita lahirkan anak dalam teksi

KUALA LUMPUR, 8 Okt : ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’. Cogan kata itu amat tepat diterjemahkan melalui tindakan seorang anggota polis wanita yang memainkan peranan sebagai ‘bidan’ ketika membantu menyambut kelahiran bayi seorang wanita warga Indonesia di dalam sebuah teksi, semalam.

 

Ketika kejadian pada 3.40 petang, Lans Koperal N. Komathi, 27, yang bertugas di Pondok Polis Terminal Bersepadu Selatan (TBS), didatangi seorang wanita yang sarat mengandung memaklumkan mahu bersalin.

 

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata melihat keadaan wanita itu, anggota polis berkenaan membawa wanita itu menaiki teksi menuju ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

 

“Ketika dalam perjalanan wanita tersebut menunjukkan tanda-tanda akan bersalin dan dengan bantuan Komathi beliau melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.7 kilogram di dalam teksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohamed Mokhsein berkata apabila tiba di unit kecemasan, wanita dan bayi itu kemudian diberikan rawatan lanjut oleh kakitangan hospital berkenaan.

 

“Wanita dan anaknya itu dilapor berada dalam keadaan baik,” katanya.

 

Gambar Komathi bersama wanita dan bayi itu tular di laman sosial hari ini dan mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

 

Komathi yang berasal dari Ipoh, Perak memulakan kerjaya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia pada 16 Jan 2016, dan kemudian bertugas di Balai Polis Salak Selatan Baru sejak Mac 2017.

 

Berita selanjutnya