Hanya kemenangan perlu diraih Harimau Malaya

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

 

HANOI, 8 Okt :  Setiap perlawanan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 amat penting buat Malaysia, dalam merealisasikan impian beraksi pada kejohanan bola sepak berprestij yang lebih tinggi.

 

 

Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia, tetapi kali terakhir Malaysia membuat penampilan di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007.

 

Jika diamati sudah hampir 30 tahun skuad Harimau Malaya gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait, setelah kandas di pusingan kelayakan.

 

Untuk menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023, Malaysia yang mendapat laluan agak mudah dalam kempen kelayakan kali ini, perlu sekurang-kurangnya muncul antara empat pasukan naib juara terbaik atau terpaksa memilih laluan lebih berliku dengan beraksi pada peringkat ‘playoff’.

 

Pusingan kelayakan kali ini dilihat memihak kepada Malaysia, apabila diundi bersama tiga negara ASEAN – Vietnam, Thailand dan Indonesia – selain satu daripada gergasi Asia yang menghuni ranking ke-66 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan G.

 

 

Menghimpunkan barisan pemain terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), skuad kebangsaan kendalian Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe seharusnya tampil lebih yakin dan memanfaatkan setiap aksi, untuk membawa pulang mata bagi terus menghidupkan peluang dalam saingan berkenaan.

 

Selepas dua perlawanan, Malaysia yang menundukkan Indonesia 3-2 di Jakarta sebelum tewas 1-2 kepada UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya kini berdepan tugasan getir menentang pasukan di ranking ke-99 dunia, Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Khamis ini.

 

Meskipun saingan kumpulan masih panjang, Cheng Hoe dan barisan anak buahnya tidak perlu menunggu sehingga saat akhir, untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

 

Hanya kemenangan demi kemenangan akan memberi kejayaan kepada Malaysia dan usaha meraih tiga mata itu harus digandakan, bermula pada pertemuan menentang skuad Naga Emas kendalian ketua jurulatih Park Hang Seo.

 

Biarpun statistik tidak memihak skuad negara yang tewas tujuh kali, seri dua dan hanya meraih kemenangan sekali dalam 10 pertemuan terdahulu, namun peningkatan prestasi ditonjolkan pemain negara sehingga hampir mengejutkan UAE amat menakjubkan.

 

 

Dua kekalahan dialami skuad kebangsaan kepada Vietnam pada kempen Kejuaraan AFF 2018, termasuk tewas 0-1 di pentas final kedua, harus dijadikan sebagai motivasi serta pembakar semangat pemain.

 

Kemenangan di Hanoi, Khamis ini juga dapat menebus kekecewaan dinafikan daripada dinobat sebagai juara pada edisi 2018 itu, sekali gus meraih kemenangan pertama di gelanggang lawan, yang kali terakhir dicatat pada aksi separuh akhir kedua Kejuaraan AFF 2014 dengan kemenangan 4-2.

 

Bernama difahamkan lebih 1,000 penyokong negara termasuk pemain ke-12, Ultras Malaya akan berada di belakang skuad kebangsaan pada aksi tersebut, dan pengorbanan itu harus dijadikan sebagai keazaman untuk melakar kejayaan cemerlang.

Berita selanjutnya