Hoki: Muhammad Muhibuddin buat pernampilan sulung di SOJC 

JOHOR BAHRU, 8 Okt : Penyerang remaja Muhammad Muhibuddin Moharam bakal membuat penampilan sulung bersama skuad hoki remaja negara dalam saingan Piala Sultan Johor (SOJC) yang akan bermula Sabtu ini.

 

Setelah  terlepas peluang mewakili skuad negara pada edisi lalu kerana beraksi pada sukan Olimpik Belia di Argentina, dia yang sudah lama mengimpikan untuk beraksi bersama skuad negara dalam SOJC tahun ini, sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang tersebut kerana akan berdepan pasukan bertaraf dunia.

 

“Dengan kehadiran pasukan besar dalam SOJC, ini adalah peluang terbaik untuk pasukan menilai sejauh mana kemampuan sebenar kita. Sudah pasti ia akan menjadi persaingan yang sukar tetapi itu bukan alasan untuk kita menyerah kalah awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Anak jati kelahiran Jasin, Melaka, itu berharap dia mampu mengekalkan momentum prestasinya untuk mencipta kenangan manis dalam penampilan pertama bersama skuad bimbingan Nur Saiful Zaini Nasiruddin.

 

Selain  Muhammad Muhibuddin, tiga lagi tonggak yang membantu Melaka menjuarai Piala Razak 2019 turut menjadi taruhan Nur Saiful bagi menghadapi SOJC kali ini iaitu, Muhammad Nur Asyraf Ishak, Muhammad Hafizi Zainudin dan Adam Aiman Mamat.

 

Skuad Malaysia yang pernah muncul juara pada SOJC 2011, akan berhadapan dengan pesaing lain antaranya juara bertahan, Great Britain, India, Australia, New Zealand dan Jepun.

 

Pada edisi lepas, anak buah Nur Saiful yang hadir tanpa kehadiran beberapa tonggak utama menyebabkan skuad negara sekadar menamatkan saingan di tempat kelima.

 

Berbeza pada edisi kali ini, Muhammad Muhibuddin bertekad untuk memperbaiki pencapaian itu dengan sekurang-kurangnya layak beraksi bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

 

“Bagi saya sasaran (layak beraksi di penentuan ketiga dan keempat) yang diletakkan jurulatih adalah realistik dan saya percaya ia bukan sesuatu yang mustahil untuk kami mencapainya. Apapun, kami perlu fokus satu demi satu perlawanan.

 

“Kami akan mengadakan aksi persahabatan dengan Britain sebelum saingan bermula. Ini akan menjadi persiapan yang baik untuk kami memperbaiki kelemahan sebelum kejohanan,” katanya.

 

Malaysia akan menentang India pada 12 Okt ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

 

Berita selanjutnya