Lebih ramai layak ke Tokyo, lebih besar peluang pingat – Norza

KUALA LUMPUR, 8 Okt :  Malaysia Olimpik Malaysia (MOM) mengharapkan lebih ramai atlet negara akan berusaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebelum tarikh tutup kelayakan ke temasya itu Julai tahun hadapan.

 

 

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pada pandangan beliau, penyertaan yang lebih tinggi di temasya terbesar dunia itu, akan dapat meningkatkan kebarangkalian untuk meraih pingat, terutamanya ketika Malaysia masih ternanti-nanti pingat emas pertama negara.

 

“Biasanya wakil kita adalah sekitar 20 hingga 30 atlet, sekiranya lebih ramai atlet dari sukan badminton, hoki, berbasikal dan sebagainya layak, kita akan ada kontinjen yang agak besar. Jadi peluang untuk meraih pingat adalah tinggi.

 

“Kalau lebih ramai atlet yang layak, peluang untuk meningkatkan pungutan pingat adalah lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM di sini, hari ini.

 

Beliau turut memuji kejayaan atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang menjadi atlet terbaharu untuk layak ke Tokyo 2020 bagi acara all-around individu, selepas meraih tempat ke-16 daripada 20 peserta pada sesi kelayakan Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

 

 

Keputusan tersebut menyaksikan atlet berusia 25 tahun itu menjadi gimnas ketiga Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik, selepas Au Li Yen pada edisi Sydney 2000 dan Ng Shu Wai pada Athens 2004.

 

Atlet lain yang telah layak ke Tokyo ialah pelayar, Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara laser lelaki, Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial wanita), pemanah Khairul Anuar Mohamad (recurve lelaki) serta penerjun Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal wanita) dan Pandelela Rinong bagi acara 10m platform wanita dan 10m platform seirama wanita bersama Leong Mun Yee.

 

Skuad hoki lelaki pula kini dalam persiapan untuk menghadapi cabaran getir dalam dua aksi menentang pemenang pingat emas sebanyak tiga kali, Great Britain pada pusingan kelayakan terakhir di Pusat Hoki Lee Valley, London pada 2 dan 3 Nov ini.

 

Pada Olimpik Rio 2016, Malaysia yang menghantar 32 atlet, mencatatkan prestasi terbaik di temasya itu, apabila meraih empat pingat perak dan sebutir gangsa, manakala penyertaan terbesar adalah pada edisi 1964 di Tokyo, tetapi skuad negara pulang dengan tangan kosong.

 

Sementara itu, Norza yang juga merupakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mengesahkan bahawa Michelle Chai yang memulakan tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) MOM semalam, telah meletak jawatannya sebagai Pengurus Besar BAM.

 

“Mengenai pelantikan pengganti Michelle di BAM, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis BAM nanti. Penstrukturan jawatan di MOM boleh diubah mengikut keperluan, di mana negara lain mempunyai jawatan seperti Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Eksekutif dan sebagainya,” katanya.

 

MOM juga telah melantik Setiausaha Agungnya, Mohd Nazifuddin Najib sebagai Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Pantai Dunia 2019 (World Beach Games) di Doha, Qatar bermula 12-16 Okt

 

— BERNAMA

 

VR VR HIS

Berita selanjutnya