Zumba eratkan Cak Ba, Tiew dan Pak Din

ALOR SETAR, 9 Okt : Menyusun gerak serta langkah tari senada ketika berzumba bukan sahaja mampu menyihatkan badan malah menjadi simbol perpaduan apabila pesertanya terdiri daripada pelbagai kaum.

 

 

Penaung Rimba Aerobic Club (RAC), Datin Seri Cak Ba A/P Ee Son, 41, yang berturunan Siam tidak kering gusi melayan kerenah Jamaluddin Abdul Karim, 67, atau lebih mesra disapa Pak Din, yang tidak kekok berzumba bersama isteri, Zainab Sulaiman, 63, serta rakan-rakan yang majoritinya adalah perempuan.

 

“Dalam beriadah kami membina hubungan erat dan semangat muhibah, dalam kumpulan zumba kami ada bangsa Cina, Melayu, India, masyarakat Siam dan lain-lain,” kata Cak Ba kepada Bernama di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, keakraban mereka juga bukanlah sekadar di pentas zumba, malah turut melibatkan penganjuran pelbagai acara bersama, antaranya sambutan hari perayaan semua kaum, kenduri kesyukuran atau mengadakan acara tradisi kaum masing-masing.

 

“Contohnya kami adakan majlis kacau bubur asyura bersama, sambut pesta Songkran dan kami yang bukan Islam juga berpeluang lihat ahli kumpulan zumba bertadarus pada bulan puasa dan ia sangat menarik kerana dapat kenal budaya pelbagai bangsa,” kata Penaung Rimba Aerobic Club (RAC) itu.

 

 

Pak Din pula berkata zumba baginya merupakan satu seni untuk kesihatan dan mencergaskan diri, bila dibuat beramai-ramai dengan penyertaan pelbagai kaum, ia menjadi lebih menarik dalam suasana sangat harmoni.

 

“Kami sangat seronok kerana dapat bertukar fikiran, belajar tentang budaya, adat dan dapat tahu amalan pelbagai kaum dan benda yang tidak bertentangan dengan agama kami buat bersama-sama macam jamuan makan ramai-ramai sempena hari raya atau sambutan hari Merdeka.

 

 

“Dalam situasi kini yang mudah timbul isu-isu perkauman, ia tidak mudah mempengaruhi kami kerana sudah biasa bersama dan sudah membina hubungan baik antara satu sama lain dan kami dah macam adik beradik,” katanya yang merupakan seorang pesara kakitangan awam.

 

Seorang lagi ahli RAC, Tiew Lee Lian, 50, turut berkongsi rasa yang sama dan berkata beliau sangat berbangga kerana mempunyai ramai kenalan terdiri daripada pelbagai bangsa.

 

“Kami adalah sebuah keluarga besar yang pentingkan kesihatan dan hubungan yang baik. Kami semua sentiasa bersatu, cergas dan ceria bersama,” katanya.

 

Selain menjadi lambang penyatuan kaum, RAC yang disertai Cak Ba, Tiew dan Pak Din merupakan kumpulan zumba yang aktif di bandaraya ini dan sering menyertai pelbagai acara antaranya perarakan hari Merdeka dan sering membuat persembahan pada majlis-majlis rasmi dan menjadi pengajar zumba untuk pelajar sekolah.

Berita selanjutnya