JPJ WPKL kutip RM1.03 juta, lelong kenderaan sita

KUALA LUMPUR, 9 Okt :  Program Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hari ini berjaya mengutip hasil berjumlah RM1.03 juta selepas melelong 100 kereta dan motosikal yang disita.

 

 

Pengarah JPJ WPKL Datuk Ismail Zawawi berkata hasil berkenaan tidak termasuk kutipan buku lelong sebanyak RM10,150.

 

“Keseluruhan 100 kenderaan sita dilelong hari ini. Daripada jumlah itu, 34 adalah motosikal manakala 66 adalah kereta. Hanya satu kereta kategori skrap yang dijual untuk tujuan pelupusan,” katanya semasa sidang media sewaktu lelongan awam Siri 2 itu di Dewan Merpati, JPJ WPKL di sini, hari ini.

 

Antara kenderaan yang dilelong hari ini termasuk kereta jenama Honda Jazz, Honda Stream dan motosikal Honda Wave.

 

Ismail berkata bidaan tertinggi adalah kereta jenis Honda Stream iaitu pada harga RM30,100 manakala bidaan terendah adalah sebuah motosikal pada harga RM150.

 

“Lelongan ini membabitkan kenderaan dan motosikal yang sebelum ini disita atas pelbagai kesalahan. 99 peratus kenderaan yang disita adalah dikategorikan sebagai kereta klon,” katanya.

 

Ismail berkata pada siri pertama April lepas, sejumlah RM1,053,250 jumlah kutipan kenderaan sita direkodkan membabitkan 101 buah kenderaan.

 

Kenderaan yang dilelong ini merupakan kenderaan yang telah disita pihak JPJ WPKL bermula awal tahun ini hingga Ogos.

Berita selanjutnya