Program Gerobok Rezeki perlu diperkasa, demi kebajikan ummah

MELAKA, 9 Okt : Usaha murni komuniti masjid dan surau mengambil inisiatif menyediakan ‘Gerobok Rezeki’ banyak membantu masyarakat setempat khususnya mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapat keperluan asas dengan kadar segera.

 

Konsepnya ialah pihak pengurusan masjid atau individu menderma barang keperluan asas seperti makanan dan minuman sementara golongan kurang berkemampuan boleh mengambilnya secara percuma pada bila-bila masa di almari yang disediakan.

 

Tinjauan Bernama di sekitar Melaka mendapati terdapat beberapa masjid dan surau yang melakukan inisiatif itu dengan menyediakan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, susu formula bayi dan sebagainya untuk diberi secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

 

Rata-rata rakyat di negeri ini menyambut baik usaha itu dan berharap usahanya diperkasa dengan beberapa penambahbaikan agar dapat terus membantu mereka yang ditimpa kesusahan termasuk musibah yang tidak dijangka seperti ketiadaan wang kerana dibuang kerja.

 

Penjawat awam, Noor Azmi Razman, 55, dari Batu Berendam berkata ada sesetengah individu yang malu untuk memohon bantuan daripada pihak berwajib dan sanggup mengikat perut apabila terputus bekalan makanan.

 

“Saya juga mencadangkan agar mereka yang mengambil barangan dari Gerobok Rezeki mengganti semula barang yang diambil apabila mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian supaya orang lain dapat terus menikmati manfaatnya,” katanya.

 

Turut berkongsi pendapat sama, Zalina Ibrahim, 34, bahawa inisiatif ini banyak membantu masyarakat untuk bantuan segera ketika menghadapi kecemasan terputus duit untuk membeli barang keperluan harian termasuk dirinya sendiri.

 

“Saya pernah dihimpit kesusahan dua tahun lepas sewaktu mula-mula berpisah dengan bekas suami…pada ketika itu saya ‘mati akal’ macam mana nak bagi anak-anak makan.

 

“Sebelum mendapat pekerjaan saya kerap meminjam duit keluarga terdekat dan mengambil barang keperluan asas dari Gerobok Rezeki di masjid berdekatan bagi memberi makan kepada tiga orang anak,” katanya yang kini mempunyai punca pendapatan tetap hasil berniaga makanan.

 

Ibu tunggal itu berkata setelah mendapat pekerjaan, beliau turut menyumbang barang keperluan asas di Gerobok Rezeki agar orang lain turut mendapat manfaat daripadanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mengakui bahawa Gerobok Rezeki di masjid dan surau banyak membantu golongan yang memerlukan mendapat bantuan segera namun ianya bukanlah satu penyelesaian dalam membaiki taraf ekonomi umat Islam.

 

“Usaha ini dilihat dapat membantu ramai orang namun ianya harus diperkasa lagi dengan melakukan pemantauan iaitu dengan menempatkan sukarelawan bagi mencatat data penerima bagi memudahkan saluran bantuan tambahan sekiranya ada,” katanya.

 

Nadzim berkata pemantauan juga harus dilakukan bagi memastikan bahawa hanya mereka yang betul-betul memerlukan mengambil barang daripada almari Gerobok Rezeki dan tidak disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada kemudahan percuma itu.

 

Beliau juga berharap pihak yang terlibat dalam usaha ini hanya meletakkan barangan keluaran Muslim agar ianya bukan hanya membantu golongan kurang berkemampuan tetapi turut membantu ekonomi umat Islam secara keseluruhanya.

 

Berita selanjutnya