Pasangan suami isteri suspek kes tikam menteri Indonesia

JAKARTA, 10 Okt :  Suspek yang menyerang dan menikam menteri Indonesia, Wiranto, dipercayai berfahaman radikal dan mempunyai kaitan dengan jaringan pengganas, kata Polis Indonesia.

 

 

Presiden Indonesia Joki Widodo (Jokowi) yang dipetik media tempatan, mahu polis dan tentera Indonesia mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap jaringan pelaku terbabit, selain mengarahkan kawalan lebih ketat terhadap menteri kabinetnya.

 

Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Wiranto, cedera ditikam sejurus keluar dari keretanya untuk menghadiri satu majlis di Banten oleh seorang suspek lelaki, yang sebelum itu berpura-pura mahu bersalaman.

 

Wiranto, 72,  kini menerima rawatan lanjut dan menjalani pembedahan di Rumah Sakit (hospital) Pusat Angkatan Tentera Darat (RSPAD) Gatot Soebroto di Jakarta.

 

“Saya perintahkan kepada polis dan tentera menyiasat sepenuhnya dan mengambil tindakan tegas terhadap jaringan (kumpulan pengganas dan radikal) yang terkait dengan peristiwa (kejadian) itu,” kata Jokowi yang dipetik agensi berita Antara.

 

Jokowi turut menziarahi Wiranto di RSPAD, manakala naib presiden Indonesia Jusuf Kalla yang turut melawat Wiranto  berkata bekas Panglima Tentera Indonesia itu kini dalam keadaan stabil.

 

Polis Indonesia dalam satu kenyataan berkata, dua suspek yang ditahan dalam kejadian itu iaitu Syahril Alamsyah, 31, dan Fitri Andriana Sunarto, 21 tahun, adalah pasangan suami isteri.

 

Suspek yang menikam Wiranto iaitu Syahril, berasal dari Medan, Sumatera, dan polis Indonesia kini melakukan penggeledahan di rumahnya di Medan, manakala isterinya berasal dari Pandeglang.

 

Dalam kejadian itu, dua lagi termasuk seorang anggota polis dan orang awam turut cedera terkena tikaman gunting dari suspek.

 

Wiranto dibawa ke Klinik Menes Medical Center di Pandeglang bagi rawatan awal, sebelum dipindahkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Pandeglang untuk rawatan lanjut, dan kemudianya diterbangkan dengan helikopter ke RSPAD, Jakarta.

Berita selanjutnya