Bandar Sukan Kuala Lumpur meriah dengan aktiviti sukan

KUALA LUMPUR, 12 Okt : Kira-kira 30,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang membanjiri perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi menyambut Hari Sukan Negara (HSN), iaitu acara kemuncak sempena Bulan Sukan Negara yang diperkenalkan tahun ini.

 

Sebelum ini, HSN hanya disambut sehari iaitu pada setiap minggu kedua bulan Oktober, sejak 2015.

 

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pelbagai aktiviti berkaitan sukan akan terus dipergiatkan sepanjang bulan ini.

 

“Untuk hari ini penyertaan sangat menggalakkan, di mana kita menerima lebih 14,000 penyertaan untuk larian ria. Saya harap ada pihak akan terus merancakkan aktiviti sukan dalam tempoh sebulan ini,” katanya selepas merasmikan kemuncak Bulan Sukan Negara 2019.

 

 

Hari ini Bandar Sukan Kuala Lumpur dimeriahkan dengan lebih 75 aktiviti sukan termasuk FitMalaysia, Karnival Kecergasan dan Sukan OKU, Peringkat Akhir e-Sukan, Zumba Fest, Hari Sukan Wanita, Konvensyen Wanita dalam Sukan, serta Karnival Sukan Permotoran.

 

Sambutan HSN diserikan lagi dengan sesi penyerahan sumbangan RM1.4 juta oleh Yayasan Lee Chong Wei kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk pembangunan sukan badminton, manakala RM600 ribu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo.

 

Tidak ketinggalan, kontinjen paralimpik negara juga turut menerima perkhabaran gembira apabila FWD Takaful Berhad, menyumbang penajaan berjumlah RM5 juta untuk tempoh 12 bulan.

 

Sambutan HSN tidak hanya berlangsung di ibu negara, malah ia disambut meriah di negeri-negeri seperti Kedah, Pahang dan Sabah; dan ada juga negeri lain telah menyambutnya lebih awal.

 

 

Di Stadium Mini Pendang, Kedah, program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan, Mohd  Asmirul Anuar Aris itu disertai lebih 10,000 pengunjung.

 

Sebagai gimik pelancaran, pengunjung disajikan dengan persembahan payung terjun empat anggota komando VAT 69 dari Polis Diraja Malaysia ( PDRM) selain aktiviti tambahan seperti Aerobathon, fun ride, larian ria, sepak penalti, bola jaring, bola sepak jalanan, beyblade, sepak raga tuju dan Muay Thai.

 

“Saya harap ia menjadi titik permulaan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Kedah dan dapat mengurangkan pesakit ke hospital, selain aktiviti sukan seperti ini dapat mengeratkan hubungan sesama kaum, agama dan latar belakang tanpa mengira politik, sukan terbukti membentuk perpaduan,” kata Mohd Asmirul.

 

Kerajaan negeri Kedah menyasarkan penyertaan seramai 324,555 orang peserta melibatkan 1,031 acara sukan yang akan diadakan di seluruh negeri.

 

 

Di Tawau, Sabah, kira-kira 2,000 peserta berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan Balung bagi menyambut Bulan Sukan Negara peringkat daerah yang dirasmikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Balung, Datuk Osman Jamal.

 

“Kerajaan berhasrat bukan sahaja menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat tetapi menitikberatkan penglibatan bersama dalam aktiviti sukan yang akan merapatkan hubungan rakyat dan mengurangkan pertelingkahan antara kaum seterusnya mewujudkan perpaduan dalam negara,” katanya.

 

Sambutan diperingkat daerah itu melibatkan pelbagai aktiviti antaranya senamrobik perdana, larian ria sejauh 5,000 meter, ‘balung xco ride challenge’ dan jalan ria.

 

Di Pahang, lebih 1,000 orang memeriahkan sambutan HSN yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampus Kuantan, di sini.

 

“Kita berharap lebih banyak agensi kerajaan, swasta dan NGO menganjurkan program berbentuk aktiviti bersukan sepanjang bulan ini, sebagai sokongan kepada penganjuran bulan sukan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Berita selanjutnya