Belon meletup ketika kanak-kanak berebut mahukan belon

PUTRAJAYA, 12 Okt: Enam mangsa kejadian belon helium meletup di Dataran Putrayaja di sini masih dirawat di Hospital Putrajaya, manakala 10 lagi telah dibenarkan pulang.

 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun itu dimasukkan ke wad hospital untuk rawatan lanjut setelah mengalami melecur tahap dua serta kulit mengelupas.

 

“Mangsa dalam keadaan stabil dan pihak hospital akan terus memerhati rasa trauma (mereka) yang akan disusuli kaunseling,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Putrajaya.

Dr Dzulkefly yang mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu ketika menghadiri satu program di Ipoh, Perak, berkata punca sehingga menyebabkan melecur tahap dua itu akan disiasat.

 

Sementara itu seorang mangsa yang ditemui di Hospital Putrajaya, Sri Rahayu Sugiono, 35, berkata kejadian berlaku dengan pantas, apabila secara tiba-tiba mendengar bunyi letupan yang kuat.

 

“Saya tidak nampak sebarang percikan api. Selepas letupan berlaku kedengaran ramai kanak-kanak menangis dan menjerit. Orang ramai bergegas memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya di sini hari ini.

 

Sri Rahayu menghadiri program kecergasan itu kerana anak perempuannya Nur Haffizah Khalid, 6, bermain bola jaring pada program itu. Dua lagi anaknya, Mohd Haffizal, 5, dan Nur Haffiqah, 4, juga hadir.

 

Tiga anaknya juga cedera dalam insiden itu, dan keempat-empat mereka dibenarkan pulang oleh pihak hospital selepas polis merekodkan keterangan.

 

Sri Rahayu yang juga petugas Kementerian Pendidikan di Presint 5 di sini berkata beliau mengalami kecederaan di tangan dan muka, dengan tudung dan bajunya berlubang dan terdapat cebisan belon meletup yang melekat, manakala anak-anaknya ada yang mengalami kecederaan di belakang badan, tangan  dan telinga.

 

“Selepas letupan berlaku bau gas yang kuat dapat dihidu,” katanya.

Berita selanjutnya