Majikan swasta enggan beri cuti bersalin 90 hari akan dikenakan tindakan

IPOH, 12 Okt : Majikan swasta yang enggan memberi cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja wanita bermula 2021 akan dikenakan tindakan.

 

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata majikan swasta perlu mematuhi perkara itu yang dibentangkan semasa Belanjawan 2020 semalam.

 

“Sekiranya sektor awam boleh melaksanakannya mengapa tidak sektor swasta,” katanya pada sidang media Karnival Prihatin JobsMalaysia 2019 di sini hari ini.

 

Beliau berkata cuti bersalin selama 90 hari perlu dilaksanakan sebagai mengikuti standard antarabangsa walaupun pelaksanaannya akan dimulakan pada 2021.

 

“Negara kita perlu mengikut ‘international standard’ dan mana-mana syarikat yang enggan melaksanakannya akan dikenakan tindakan,” katanya.

 

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 berkata kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

 

Kajian itu akan meliputi empat perkara antaranya meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021.

 

Sementara itu, beliau berkata insentif gaji #MalaysiaKerja akan diuruskan dan dikreditkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengelakkan penyelewengan oleh pelbagai pihak termasuk majikan.

 

“Kerajaan akan membayar melalui KWSP kerana mereka dan majikan mempunyai rekod pekerja. Ia juga bagi mengelakkan majikan daripada menyeleweng wang itu,” katanya.

 

Program pertama #GraduanKerja di bawah inisiatif #MalaysiaKerja direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan dengan setiap graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima.

 

Majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama.

 

Beliau berkata setakat ini terdapat sebanyak 260,000 kekosongan pekerjaan yang boleh dimohon oleh rakyat Malaysia di JobsMalaysia bagi mendapatkan kerja yang diingini.

Berita selanjutnya