Piala Dunia: Lima negara ASEAN duduk semeja bincang kriteria bidaan

KUALA LUMPUR, 12 Okt : Hasrat untuk ASEAN menjadi tuan rumah bersama bagi Piala Dunia 2034 mungkin dapat direalisasikan.

 

Ini berikutan satu mesyuarat membabitkan lima negara ASEAN termasuk Malaysia akan diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan keperluan dan komitmen yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

 

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN di Manila, Filipina pada Rabu berkata:

 

“Oleh kerana syarat yang ada dalam pembidaan FIFA yang memerlukan beberapa perkara diteliti, jadi pada mesyuarat itu kita telah bersetuju untuk menubuhkan satu kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dengan lebih mendalam khususnya berkaitan dengan dokumen pembidaan.

 

“Kita juga akan memanggil persatuan bola sepak negara ASEAN bersama kumpulan ini bagi membincangkan tentang bagaimana kita boleh meneruskan usaha untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah,” katanya selepas perasmian Hari Sukan Negara (HSN) yang merupakan kemuncak sambutan Bulan Sukan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

 

Ahmad Shapawi berkata mesyuarat yang masih belum dimuktamadkan tarikh itu bukan bertujuan membincangkan mengenai bidaan tetapi lebih kepada membincangkan kekuatan dan potensi yang ada pada negara ASEAN yang boleh ditawarkan untuk meyakinkan pihak FIFA.

 

Untuk rekod, pada Jun lepas,  Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha memaklumkan bahawa kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

 

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Bangkok, Thailand.

 

Lima negara ASEAN itu ialah Malaysia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.

 

Berita selanjutnya