Industri kenaf maju setapak lagi dalam bidang pembinaan

Oleh Zabidi Ishar

 

KOTA BHARU, 13 Okt : Industri kenaf negara kini maju setapak lagi apabila ia muncul sebagai peneraju kepada teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) berasaskan kenaf dalam bidang pembinaan rumah.

 

Kajian selama lebih dua tahun oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mendapati empulur kenaf yang lazimnya dibuang tetapi kini mampu dijadikan blok dinding yang lebih kukuh pembinaannya berbanding blok bata yang diperbuat daripada pasir dan tanah.

 

Malah kenaf antara tumbuhan yang mampu menyerap haba menjadikan kawasan dalam rumah lebih sejuk ketika siang dan menyerap bunyi menjadikan kawasan dalam rumah senyap daripada persekitaran luar.

 

“Ini teknologi pertama di negara kita yang telah melepasi ujian klinikal dan mendapat pengiktirafan daripada SIRIM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

 

“Jika empulur kenaf dahulunya dibuang kini ia menjadi bahan penting pembuatan IBS yang kita percaya pada masa hadapan ia menjadi bahan penting dalam industri perumahan negara,” kata Ketua Pengarah LKTN, Samsuddin Noor kepada Bernama di sini, hari ini.

 

Samsuddin berkata, dengan penggunaan IBS itu, pembuatan sebuah rumah yang sebelum ini memerlukan sebulan atau dua bulan untuk diikat bata, namun kini hanya selesai dalam tempoh dua hari dengan penggunaan blok berkenaan.

 

“Ia banyak menggantikan simen dan pasir, yang menjimatkan masa yang mana sebuah rumah dengan reka bentuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin boleh siap keseluruhan pembinaannya dalam sebulan sahaja dengan kos pembinaan kira-kira RM55,000 seunit.” katanya.

 

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, LKTN mempunyai bahan yang cukup untuk menghasilkan blok IBS itu, yang kemudiannya diserahkan kepada kontraktor untuk membuat rumah. Dengan menggunakan dua tan empulur kenaf, pihaknya mampu menyediakan 100 blok IBS, yang cukup untuk membina sebuah rumah PPRT.

 

“Kita sasarkan 10,000 hektar tanaman kenaf, yang mampu untuk menyiapkan 30,000 buah rumah PPRT pada masa lima tahun akan datang dan kita yakin mampu merealisasikan hasrat ini,” katanya.

 

Beliau mengharapkan agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak swasta yang lain dapat bergandingan dengan LKTN bagi projek perumahan selepas ini.

 

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah membina dua rumah menggunakan IBS di Muar dan mendapat maklum balas yang sangat baik terhadap penggunaannya.

 

Ketika merasmikan Program Bicara Kenaf dan Penyerahan Rumah Kenafcrete di bawah PPRT di Kampung Solok Punggai, Ayer Molek, Melaka pada 4 Okt lepas, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memuji LKTN dalam penghasilan IBS itu.

 

“Penggunaan kenafcrete ini mampu menyerap haba dan rumah tidak menjadi panas pada siang hari selain bahan binaan kukuh, memerlukan kos sederhana dan rumah yang dibina mengambil masa yang singkat sekitar 30 hari.

 

“Kita di peringkat kementerian menerusi LKTN bersedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian lain atau agensi kerajaan, untuk memperluaskan penggunaan komoditi itu untuk membina lebih banyak rumah di bawah PPRT, kerana kita ada bahan (kenaf) dan formula untuk pembinaan,” katanya.

 

Kenaf adalah komoditi yang lebih baik untuk digunakan dalam pembinaan rumah dan ia terbukti mampu mempunyai nilai tambah untuk memberi keselesaan kepada penghuni.

 

Bagi penerima rumah PPRT di bawah Kenafcrete itu, Noor Alim Jantan, 45, dan isterinya Kartine Sarip, 47, melahirkan rasa gembira, kerana impian memiliki rumah sendiri akhirnya terlaksana kerana sebelum ini beliau dan lima anak lelakinya berusia 12 hingga 19 tahun terpaksa duduk bersama keluarga, sebelum menyewa lebih empat tahun di Kampung Tengah, Klebang Besar, Melaka.

 

Beliau memuji reka bentuk rumah adalah amat selesa selain rumah itu tidak panas ketika berada di siang hari, yang sangat baik terutama mereka yang mempunyai anak kecil.

Berita selanjutnya