Pengguna telefon bimbit di selatan Thailand perlu hantar gambar wajah untuk identifikasi

BANGKOK, 15 Okt : Mulai bulan depan, pengguna telefon bimbit termasuk warga asing yang berada di selatan Thailand, dikehendaki menghantar foto wajah masing-masing bagi tujuan pengecaman nombor telefon, atau bakal berhadapan dengan perkhidmatan telefon mereka ditamatkan.

 

Sehubungan itu pendaftaran biometrik bagi pengguna telefon bimbit di tiga wilayah di selatan Thailand, yang terdiri daripada Yala, Pattani dan Narathiwat, di samping empat daerah berhampiran di wilayah Songkhla, akan ditamatkan hujung bulan ini.

 

Bagaimanapun arahan daripada National Broadcasting and Telecommunications Commissions (NBTC) Thailand yang diterbitkan oleh Royal Gazette pada bulan April dan Jun lepas itu membangkitkan kemarahan aktivis hak asasi yang melihat ia sebagai langkah yang melanggar hak asasi manusia penduduk majoriti Muslim di selatan negara itu.

 

Jurucakap Tentera Divisyen ke-empat Kol Pramote Prom-in pula yang mempertahankan langkah itu berkata identifikasi wajah adalah mekanisma terbaik menghentikan tindakan sesetengah penduduk tempatan yang dijadikan ‘kambing hitam’ oleh anggota kumpulan bersenjata.

 

Beliau berkata langkah itu akan membantu pihak berkuasa yang berkaitan mengenal pasti penjenayah bersenjata itu, yang menggunakan isyarat penerimaan telefon bimbit untuk meletupkan bom buatan sendiri di selatan Thailand.

 

“Kami tidak melanggar hak asasi manusia, sebaliknya kami melindungi hak dan nyawa mereka daripada menjadi ‘kambing hitam’ penjenayah kumpulan bersenjata. Siasatan polis mendapati banyak insiden keganasan di selatan negara menggunakan isyarat penerimaan telefon bimbit bagi tujuan mencetuskan letupan.

 

“Ada kes-kes di mana penjenayah menggunakan kad identifikasi orang lain untuk membeli Kad Sim dari negara dan wilayah lain bagi tujuan meletupkan bom. Dengan langkah terbaharu ini, kita berharap untuk dapat mengesan mereka yang bertanggungjawab yang menggunakan Kad Sim untuk meletupkan bom,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 

Pramote memberi contoh siasatan berhubung pengeboman di Pantai Samila di Songkhla tahun lepas yang mengakibatkan kerosakan kepada patung Golden Mermaid Statue serta Cat and Mouse Sculpture; di mana penggans bertanggungjawab dikatakan membeli 20 Kad Sim telefon bimbit dari Bangkok bagi tujuan meletupkan bom berkenaan.

 

Sehingga minggu lepas Pramote berkata kira-kira 50 peratus daripada sejumlah sejuta pengguna telefon bimbit di tiga wilayah dan empat deerah di Songkhla itu sudahpun mendaftar.

 

“Semua akan mendaftar tidak lama lagi, kerana bagi mereka yang tidak mendaftar perkhidmatan telefon mereka akan diputuskan,” katanya.

 

Semasa ditanya sekiranya tempoh pendaftaran akan dilanjutkan beliau berkata, NBTC dan pihak berkuasa Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) bertanggungjawab menimbangkan perkara itu.

 

Beliau berkata kira-kira 6,000 pegawai akan dilantik bagi membantu pendaftaran penduduk tempatan, dan bagi pengguna telefon bimbit yang berada di luar kawasan berkenaan, mereka perlu mendaftar di syarikat-syarikat telekomunikasi berkaitan, sebelum memulakan perjalanan ke kawasan itu.

 

Di Selatan Thailand gejala pengeboman dan pembunuhan sehingga kini telah mengorbankan kira-kira 70,000 individu di empat wilayah di selatan negara itu, sejak tahun 2004 lagi.

 

Berita selanjutnya