Makan dan beramal, matlamat Gerai Burger Skuad Muafakat 4All

BATU PAHAT, 2 Nov : Sambil menikmati makanan sambil melakukan amal, itu peluang yang boleh direbut orang ramai apabila mereka membeli burger dan tauhu goreng di Gerai Burger Skuad Muafakat 4All, di Taman Bistari, Tongkang Pechah, di sini.

 

 

Pemilik gerai, Wahyu Hidayat Jaapar, 39, berkata setiap 20 sen hasil jualannya akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Skuad Muafakat 4All-Gabungan NGO Bangsa Johor.

 

Beliau yang juga pengasas NGO berkenaan berkata, salah satu cabang kebajikan yang disalurkan oleh pihaknya adalah kepada Pertubuhan Van Jenazah Amal Batu Pahat, salah satu pertubuhan di bawah gabungan Skuad Muafakat 4All.

 

“Idea untuk membuka gerai ini bermula pada awal tahun ini lagi, namun ia hanya dapat direalisasikan pada penghujung Ogos lalu dan gerai ini dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula pukul 5 petang hingga lewat malam.

 

“Buat masa ini hasil jualan kami disalurkan untuk operasi beberapa buah van jenazah dalam gabungan NGO ini, dan diharapkan kerja amal ini mendapat sokongan daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui Bernama.

 

 

Jelas Wahyu lagi, operasi gerai berkenaan ini juga turut dibantu dua rakannya Mohd Hafiz Majid, 24 dan Hasnul Emri Abd Hamid, 37 yang juga merupakan ahli gabungan NGO tersebut.

 

Katanya, pembukaan gerai terbabit juga adalah kesinambungan daripada kerja amal yang dilakukan oleh NGO kendaliannya yang ditubuhkan pada 2012 yang turut membabitkan beberapa kelab pemilik kereta serta pemandu lori dan bas di daerah Batu Pahat, Kluang, Pontian, Muar dan Johor Bahru.

 

Beliau menambah penubuhan NGO Skuad Muafakat 4All pada asalnya adalah untuk membantu golongan pesakit kronik dan juga pesakit terlantar dengan bantuan barangan seperti kerusi roda, tongkat serta pelbagai alat berkenaan lain.

 

“Bagaimanapun pada penghunjung tahun lepas (2018) kami mula mendapati ada beberapa keluarga yang mengalami kekangan kewangan apabila waris mereka meninggal dunia terutama di hospital, di mana sesetengah mereka terbeban dengan kos van jenazah yang perlu dijelaskan.

 

“Sebab itulah saya wujudkan Pertubuhan Van Jenazah Amal Batu Pahat ini, dengan urusan pengangkutan jenazah dari hospital tidak dikenakan sebarang bayaran, dalam masa yang sama mengajak orang ramai untuk turut serta melaksanakan kerja amal secara tidak langsung,” katanya.

Berita selanjutnya