Pengutip sampah kini usahawan berjaya

KUALA LUMPUR, 2 Nov : Tekad mengubah nasibnya yang pernah menjadi pengutip sampah dan bergelumang dengan bau busuk sisa buangan, Mohamad Azlan Al Amin kini bergelar seorang usahawan berjaya.

 

Berkongsi kisahnya, Mohamad Azlan, 32, berkata beliau menjadi pengutip sampah di sebuah syarikat kontraktor pembersihan selama enam bulan di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada tahun 2005.

 

“Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM, tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga.

 

“Oleh kerana kemiskinan dan keluarga kami pernah dibanci sebagai yang paling miskin di Kampung Tok Raja, Besut, saya tekad untuk mengubah nasib saya dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), hari ini.

 

Buku itu dilancarkan oleh Ketua Pengarah PNM, Maizan Ismail.

 

Mohamad Azlan berkata pada 2010, selepas usaha pertanian dijalankan tidak berhasil, beliau nekad keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan di sekitar bandar Jertih dengan hanya berbekalkan wang berjumlah RM1.30.

 

Katanya, beliau kemudian berjumpa dengan seorang individu yang menawarkannya bekerja sebagai ejen hartanah dan daripada situ, ia menjadi titik tolak kejayaannya kini.

 

Di samping itu, Peneraju Syarikat Azlan A-Amin Properties Sdn Bhd berkenaan berkata amalan bersedekah, rajin beribadah serta menjaga kebajikan kedua-dua ibu bapa juga menjadi kunci kepada kejayaannya.

 

“Jadikan kemiskinan itu sebagai motivasi dan kekayaan itu sebagai inspirasi, apabila memperoleh rezeki kita perlu berbuat kebajikan dengan hidup berbakti kepada semua.

 

“Ketika kesempitan, kita jangan lupa beribadah dan bersedekah, dalam masa yang sama sentiasa bersyukur dan menghargai pengorbanan ibu bapa kerana merekalah yang turut memberkati dan merestui rezeki kita,” kata anak keenam daripada 21 adik beradik itu.

 

Dalam pada itu, Mohamad Azlan berharap buku terbitan Syarikat Maleq Rezki Interprise berkenaan dapat memberi inspirasi kepada anak muda yang dibelenggu kemiskinan dan kesusahan untuk membina kejayaan menerusi kisah benar perjalanan hidupnya.

Berita selanjutnya