Kitar semula sisa makanan beri pulangan berharga

MELAKA, 3 Nov : Sikap suka terhadap kebersihan dan bau wangi dalam kehidupan harian antara faktor yang mendorong Rokiah Ismail, 60, terlibat dalam aktiviti kitar semula sisa makanan dan barangan menerusi program Komuniti Sisa Sifar (Zecomm) di bawah SWM Environment.

 

Peniaga makanan itu berkata, beliau juga teruja melihat ganjaran yang diperoleh rakan-rakannya hingga terbuka hatinya untuk giat mengumpul sisa makanan daripada aktiviti perniagaannya dan barangan kitar semula di kawasan persekitaran.

 

Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel itu berkata menerusi pengumpulan barangan itu, yang mula dilakukan sejak awal September lepas, beliau berjaya mengumpul 300 cop dengan jumlah berat 300 kilogram (kg) bagi barangan kitar semula dan sisa makanan (150 kg).

 

“Setiap hari makcik akan dapat kumpul antara 15 kg hingga 20 kg sisa makanan hasil lebihan pelanggan dan kadangkala rakan yang tahu makcik kumpul sisa makanan dan barangan kitar semula, mereka juga akan beri.

 

“Hasil daripada kutipan barangan kitar semula agak lumayan… hari ini makcik dapat tebus mata ganjaran yang dikumpul dengan tiga kampit beras, tiga paket milo dan minyak masak yang bernilai kira-kira RM200,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Kebersihan Negara, Sambutan Hari Habitat Sedunia dan Hari Kitar Semula Peringkat Kebangsaan di PPR Tehel di sini, hari ini.

 

Menerusi program Zecomm itu, penduduk diberi satu cop bagi setiap 500 gram sisa makanan dan 1kg bagi barang kitar semula, manakala antara produk makanan yang boleh ditebus ialah beras, minyak masak, kicap, santan kotak, sabun, gula dan garam.

 

Sementara itu, Faridah Sijari, 53, dari PPR itu berkata beliau mula mengumpul barangan kitar semula dan sisa makanan sejak awal tahun ini dan telah tiga kali mendapat ganjaran hasil aktiviti itu.

 

“Kali ini paling banyak makcik dapat kumpul iaitu 243.4 kg bagi barangan kitar semula dan sisa makanan (121.7 kg) dengan jumlah 360 cop,” katanya dan menambah bahawa program ini membawa banyak manfaat antaranya mendisiplinkan diri, mengurus barang kitar semula yang tidak diperlukan dengan baik dan menjana pendapatan.

 

Fazlina Aba, 33, dari PPR Sungai Putat pula berkata program itu dapat menggalakkan golongan suri rumah sepertinya menyumbang kepada aktiviti pengurusan sisa buangan selain membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga khususnya kos barangan dapur.

 

“Yang baiknya mengenai program ini ialah sisa makanan dapat dikitar semula… kalau di kampung lebihan makanan boleh bagi ayam makan tapi bila duduk bandar terbuang macam tu sahaja,” katanya.

 

Sejak program itu dilancarkan di PPR Sungai Putat pada 18 Ogos lepas, 166.7 kg barangan kitar semula dan sisa makanan (83.3 kg) dapat dikumpulkan oleh Fazlina.

Berita selanjutnya