Untung bersih F&N meningkat kepada RM410.26 juta bagi 2019

KUALA LUMPUR, 5 Nov :  Keuntungan bersih Fraser dan Neave Holdings Bhd (F&N) bagi tahun kewangan berakhir 30 Sep, 2019 meningkat kepada RM410.26 juta berbanding RM386.55 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

 

Perolehan meningkat kepada RM4.08 bilion daripada RM3.87 bilion, menurut kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

“Makanan dan minuman (F&B) Thailand terus menjadi tunjang dalam menyumbang prestasi terbaik kumpulan. Momentum pertumbuhan F&B Thailand yang kukuh dalam pasaran tempatan, Indochina dan eksport, didorong oleh inovasi yang berjaya dan pelaksanaan yang berkesan dalam inisiatif pemasaran dan penjenamaan, serta pengurusan penetapan harga dan diskaun yang lebih baik.

 

“Disokong oleh pengembangan kapasiti dan dibantu oleh pengukuhan baht Thailand berbanding ringgit, perolehan meningkat 11.3 peratus kepada RM1.91 bilion. Dalam terma mata wang tempatan, perolehan F&B Thailand meningkat sebanyak 5.9 peratus,” katanya.

 

Pengerusi Tengku Syed Badarudin Jamalullail berkata kumpulan itu mempunyai pengalaman menjalankan operasi selama lebih beberapa dekad dalam keadaan yang sentiasa berubah, dan membangunkan keupayaannya untuk mengguna pakai strategi bagi mengatasi cabaran tanpa mengetepikan visi jangka panjangnya.

 

“Kami mempunyai portfolio produk yang pelbagai dan kedudukan dari segi geografi yang seimbang, lembaran imbangan yang kukuh serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan, selain pantas memberi tumpuan kepada cabaran jangka masa terdekat dan jangka panjang.

 

“Keputusan terkini kami menunjukkan tumpuan kumpulan kepada kecemerlangan dan memberikan prestasi yang mampan,” katanya.

Berita selanjutnya