Mandi keris, tradisi yang semakin dilupakan

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

 

MELAKA, 7 Nov : Keris dari alam Melayu dan Jambiya dari Yaman semenanjung Arab mempunyai persamaan iaitu kedua-duanya sejenis senjata yang disisipkan  di pinggang oleh kaum lelaki sebagai lambang kegagahan.

 

Namun kedua-dua mempunyai nasib yang berbeza. Jambiya sehingga kini masih disisipkan di pinggang lelaki generasi muda Yaman ke mana sahaja mereka pergi manakala keris kini kian dilupakan oleh generasi muda Melayu dan hanya tinggal sebagai hiasan dinding atau sekali-sekala menjadi hiasan di pinggang pengantin lelaki.

 

Pada zaman dahulu fungsi keris bukan hanya sebagai senjata tetapi ianya dijadikan sebagai simbol utusan kerajaan, lambang darjat, pangkat kepada pemiliknya sehingga ada upacara khas untuk memandikan keris yang dilakukan orang tertentu yang digelar “Empu keris”.

 

Empu keris (Tukang mandikan keris) ,Sheikh Abdul Sani Sheikh Hashim, 55 berkata masyarakat dahulu lebih menghargai keris sehingga ianya dianggap sebagai khazanah berharga, ianya dijaga dengan baik dan dimandikan mengikut adat serta pantang larangnya, namum hari ini  orang ramai tidak  lagi menjaga  keris dan hanya membiarkanya tergantung di dinding rumah.

 

“Ini kerana masyarakat hari ini tidak mengenali apa itu keris.

 

“Keris adalah simbol kepada orang Melayu dan khazanah ini perlu terus diwarisi dan dijaga kerana ianya adalah martabat dan maruah bagi bangsa Melayu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkampung Hang Tuah di sini.

 

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Sheikh berkata bilangan Empu hari ini semakin berkurangan menyebabkan adat tradisional mandikan keris semakin dilupakan.

 

“Jika dahulu di setiap kampung pasti ada seorang Empu yang bertanggungjawab memandikan keris orang ramai mengikut adat dan pantang larang tertentu bagi memastikan keris sentiasa berada dalam keadaan baik dan tahan lama,” katanya.

 

Sheikh Abdul Sani berkata masyarakat hari ini memandang mudah dalam melakukan acara mandikan keris dengan mengunakan bahan asas dan kadang-kala tidak bersesuaian dengan keris tertentu.

 

Beliau yang juga pengumpul senjata tradisional Melayu berkata bahan yang digunakan untuk mandikan keris berbeza mengikut campuran besi yang diguna untuk membuat keris tersebut, adat mandikan keris yang dibuat daripada lebih tujuh jenis besi adalah lebih rumit berbanding dengan keris biasa.

 

Katanya terdapat empat peringkat mandikan keris iaitu peringkat pertama adalah acara mandikan bagi membuang kotoran, karat dan bisa dengan merendam keris tersebut dalam tempoh tertentu dalam bekas berisi samada air kelapa, air nenas, asam jawa, air kapur dan sebagainya.

 

Beliau berkata setelah keris direndam selama setengah jam, keris akan digosok mengunakan limau nipis, lobak dan sebagainya.

 

Sheikh Abdul Sani berkata proses kedua dalam adat mandikan keris adalah memandikan keris dengan air wangi-wangian daripada tujuh jenis bunga seperti air bunga Mawar, air bunga Cempaka dan sebagainya  bagi membuang kotoran yang melekat pada mata keris.

 

“Peringkat ketiga dalam adat mandikan keris pula adalah memberi semangat kepada keris dengan menyapu minyak wangi seperti minyak Kasturi, minyak Seribu bunga, minyak Malaikat subuh dan sebagainya.

 

“Apabila disapu minyak wangi ianya meresap ke dalam besi dan menyebabkan keris berbau wangi dan memberi semangat kepada tuan punya keris, ”katanya yang sering dijemput oleh kerajaan Melaka untuk melakukan demostrasi memandikan keris kepada pelancong asing yang datang berkunjung ke negeri Hang Tuah ini

 

Beliau berkata proses keempat dan terakhir dalam memandikan keris adalah mengasap atau dikenali juga sebagai proses ‘membedak’ mata keris dengan asap kemenyan dan setanggi.

 

Sheikh Abdul Sani berkata pada pendapatnya kepentingan menjaga adat dalam pemakaian keris pada zaman ini tidak perlu dibahaskan kerana apa yang lebih penting adalah semua pihak perlu berusaha menjaga warisan Melayu ini.

 

“Kita perlu ajak anak muda kembali berminat untuk memiliki atau memakai keris bersama busana Melayu agar ianya dapat diwarisi kepada generasi akan datang, saya tidak mahu satu hari nanti anak cucu kita tidak lagi mengenali keris dan pada masa itu keris  hanya menjadi barang pemeran di muzium sahaja,” katanya.

Berita selanjutnya