Amalan pelajar salam dan cium tangan pengawal , disanjung netizen termasuk Menteri

Oleh JEIILNYLY MASAL

 

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Jarang sekali kita melihat pelajar memberi salam sambil mencium tangan pengawal keselamatan di pintu sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan harian.

 

Namun, nilai murni itu dapat dilihat dipraktikan di Sekolah Kebangsaan Luagan,  Keningau, Sabah.

 

Rakaman video yang ditularkan oleh seorang pemandu lori Azwan Mahmin, 39,   di laman media sosial mendapat sambutan positif pihak netizen, termasuk Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

 

Maszlee dalam akaun Twitternya yang memuji pelajar-pelajar SK Luangan ini berkata budaya menghormati perlu diterapkan kepada anak-anak kita.

 

“Sekolah sememangnya harus berfungsi sebagai satu platform pendidikan yang memupuk budaya hormat-menghormati,” katanya.

 

 

Video berdurasi 41 saat itu  tular dengan 360,000 tontonan dan 11,500 perkongsian malah rata-rata warganet memuji tindakan pelajar serta budaya sekolah itu.

 

Sementara itu Azwan Mahmin, 39, memberitahu Bernama beliau terdetik merakam video itu kerana tersentuh dengan akhlak yang ditunjukkan oleh pelajar sekolah itu kepada pengawal keselamatan yang bertugas.

 

“Sedang dalam perjalanan ke rumah adik sepupu saya yang berhadapan dengan sekolah itu untuk sarapan pagi,  saya melihat pelajar sekolah memberi salam kepada pengawal keselamatan itu.

 

“ Gelagat pelajar itu membuat saya tersentuh. Tidak ada niat untuk tularkan benda (video)  itu cuma ingin berkongsi dengan rakan-rakan di Facebook sebab ia jarang-jarang berlaku namun tidak menyangka video itu tular,” katanya.

 

Azwan berkata adik sepupunya itu memaklumkan budaya bersalaman dengan pengawal keselamatan itu adalah rutin harian pelajar di sekolah itu tanpa mengira umur.

 

Berita selanjutnya