P. Pinang tumpu kaedah sewa beli untuk pemilikan rumah PPR

GEORGE TOWN, 8 Nov: Kerajaan Pulau Pinang akan memberi lebih perhatian kepada penggunaan kaedah sewa untuk beli atau ‘rent-to-own’ (RTO) untuk menangani masalah pemilikan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan yang kurang berkemampuan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti tiga tapak di Jelutong iaitu Lot 10042, Lot 10043 dan sebahagian petak A di Seksyen 1, Bandar Jelutong untuk menyediakan unit sewaan PPR.

 

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin secara dasarnya bersetuju dengan cadangan ini dan meminta kerajaan negeri untuk memulakan pelan pemindahan setinggan sebelum projek dapat dilaksana.

 

“Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan telah memberi fokus kepada penyediaan rumah mampu milik dengan saiz minimum 900 kaki persegi dan mencadangkan agar tapak ini dibangunkan secara ‘request for proposal’ (RFP) bagi tujuan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan lisan Gooi Zi Sen (PH-Pengkalan Kota) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

 

Gooi ingin tahu apakah hala tuju kerajaan negeri terhadap PPR susulan daripada pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menangguhkan pelaksanaan projek PPR.

 

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata selain tapak tersebut, kerajaan negeri turut mencadangkan empat tapak tambahan iaitu tanah milik kerajaan di Jalan Mayang Pasir di daerah Barat Daya, Ujung Batu di daerah Seberang Perai Utara dan Kampung Tongkang di daerah Seberang Perai Selatan serta tanah milik Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) di Batu Kawan.

 

Beliau berkata kerajaan negeri berpandangan penyediaan rumah PPR terutama di bahagian pulau masih perlu dengan mengambil kira senarai menunggu sehingga Oktober lepas berjumlah 1,051 permohonan.

 

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbicangan lanjut bersama KPKT berhubung isu ini. Namun, dicadangkan peruntukan RM10 bilion (jaminan RM3 bilion) dalam Belanjawan 2020 akan menumpu terlebih dahulu kepada rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik,” katanya.

 

Selain itu, Jagdeep berkata pihaknya juga mencadangkan 10 peratus daripada sasaran 180,000 unit perumahan mampu milik di negeri ini dibekalkan melalui kaedah RTO.

 

Berita selanjutnya