Bermula enam buah meja, kini restoran menjadi ‘viral’

NIBONG TEBAL, 9 Nov: Bermula dengan hanya enam buah meja makan dan menumpang di sebuah gerai makan di Bukit Minyak dekat Juru, pemilik restoran Pak Mat Western kini mampu tersenyum selepas restoran itu menjadi ‘viral’.

 

Seorang daripada pemilik restoran itu, Nor Qaiyum Muhamad, 25, berkata walaupun tidak berkelulusan tinggi dalam pelajaran, semangat ingin berjaya dalam bidang keusahawanan bersama lima adik-beradik mengatasi segalanya sehingga restoran mereka berjaya menjadi antara pilihan penggemar makanan Barat di negeri itu.

 

“Bermula dengan modal sebanyak RM10,000, hari ini Pak Mat Western beroperasi dengan 70 orang kakitangan serta dikunjungi lebih dari 500 orang pelanggan setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

 

Pada majlis itu, Nor Qaiyum menerima Anugerah Khas Qudwatur Rasul Shabab sempena sambutan Maulidur Rasul itu.

 

Beliau berkata selain menekankan kualiti masakan dan kebersihan pada tahap maksimum, pihaknya turut memastikan semua pekerja beragama Islam dan menutup aurat.

 

“Untuk menambah keberkatan sepanjang menjalankan perniagaan, saya akan memastikan kebersihan pekerja dengan memeriksa kuku dan menyediakan kelengkapan dandanan diri kepada setiap kakitangan,” katanya yang sering terlibat dengan pelbagai aktiviti dan kegiatan kemasyarakatan selain mengadakan majlis korban setiap kali Hari Raya Aidiladha.

 

Nor Qaiyum berkata keselesaan pengunjung untuk beribadat juga sangat dititikberatkan dan restoran itu turut menyediakan surau bagi pengunjung yang ingin menunaikan solat.

 

“Pada bulan Ramadan, kami juga ada menyediakan kaunter khas bayaran zakat fitrah di restoran bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah zakat. Kami juga berkongsi rezeki yang diperoleh dengan menjemput pelajar miskin makan di kedai tanpa bayaran,” katanya.

 

Sentiasa memahami konsep ‘man jadda wa jada’ (siapa yang bersungguh-sungguh akan mendapat hasil), Pak Mat Western kini melebarkan sayap perniagaan di Skudai, Johor di samping akan memperbesarkan perniagaan di Juru dengan membeli sebuah kedai tiga tingkat.

Berita selanjutnya