Galas tanggungjawab Timbalan Ketua Polis KL, pengalaman manis buat Yong

KUALA LUMPUR, 9 Nov : Menjadi Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur wanita yang pertama di ibu kota merupakan detik manis bagi Datuk Yong Lei Choo kerana diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar itu. 

 

Tambah istimewa apabila berita gembira itu diterima tiga hari menjelang sambutan hari lahirnya 27 Okt lepas, sekali gus boleh dianggap sebagai hadiah hari lahir yang amat istimewa.

 

“Sepanjang perkhidmatan saya dalam PDRM (Polis Diraja Malaysia) selama lebih 32 tahun, saya banyak bertugas di bahagian Cawangan Khas di semua peringkat iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Bukit Aman.

 

“Saya pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Cawangan Khas Daerah Petaling Jaya dan Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang dan bahagian pengurusan PDRM,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPK Kuala Lumpur, di sini.

 

Yong yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Komandan Maktab PDRM berkata beliau memulakan tugas dalam pasukan polis di IPD Taiping, Perak, sebaik selepas tamat latihan kadet ASP pada tahun 1986.

 

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia di Amerika Syarikat berkata pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur menjadikan beliau wanita pertama yang menjawat jawatan itu di bandar raya ini.

 

Yong berkata dalam soal penugasan tidak timbul isu diskriminasi jantina selagi seseorang individu itu mampu memberikan perkhidmatan terbaik serta komited dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

 

“Cabaran menggalas tanggungjawab ini memang besar memandangkan Kuala Lumpur adalah ibu kota yang menjadi tumpuan orang ramai serta pelancong asing.

 

“Oleh itu, saya perlu bersikap optimis untuk memberikan khidmat terbaik bukan saja kepada masyarakat, malah kepada warga PDRM di Kuala Lumpur,” katanya yang berasal dari Jasin, Melaka.

 

Ditanya sama ada wanita mampu menggalas jawatan tertinggi PDRM sebagai Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara, beliau berkata perkara itu tidak mustahil.

 

“Selagi seseorang itu komited dan profesional dalam menjalankan tugasnya terhadap warga PDRM dan masyarakat, mereka (polis wanita) boleh menggalas kedua-dua jawatan besar itu,” katanya.

Berita selanjutnya