Penunggang basikal maut digilis lori di Jalan Gombak Lama

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Seorang penunggang basikal maut selepas digilis sebuah lori dalam kejadian di Batu 10 Jalan Gombak Lama, Gombak pagi tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Wan Mohd Nur Muzaaliff Wan Musa, 44, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas beriadah bersama tiga rakannya.

 

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata mangsa yang menunggang basikal dari arah Bentong, Pahang menghala ke Kuala Lumpur terjatuh apabila sebuah lori memintasnya di sebelah kanan.

 

“Mangsa hilang kawalan dan terjatuh sebelum digilis tayar belakang lori yang dipandu lelaki berusia 48 tahun dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketika kejadian, tiga lagi rakan mangsa sedang berkayuh dalam jarak 200 meter di belakangnya.

 

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

“Polis meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 03-61262222 atau 013-7557556,” katanya.

Berita selanjutnya