MAHB catat pergerakan penumpang 9.2 peratus pada Okt

KUALA LUMPUR, 11 Nov :  Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) di Istanbul, Turki, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 9.2 peratus kepada 11.7 juta penumpang pada Oktober, 2019.

 

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik meningkat 11.0 peratus dan 7.5 peratus, masing-masing kepada 5.6 juta dan 6.1 juta penumpang.

 

Bagi tempoh 12 bulan lepas, jumlah rangkaian lapangan terbang MAHB merekodkan pertumbuhan 5.2 peratus dengan 139.2 juta penumpang.

 

“Ini adalah peningkatan penumpang tertinggi dicatatkan (berdasarkan) kepada perbandingan 12 bulan daripada 12 bulan sebelumnya.

 

“Keseluruhan pergerakan pesawat meningkat 4.1 peratus dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik merekodkan peningkatan, masing-masing pada 5.5 peratus dan 3.2 peratus bagi Oktober, 2018,” kata syarikat itu.

 

MAHB berkata lapangan terbang di Malaysia mencatatkan pertumbuhan 10.0 peratus merekodkan sebanyak 8.6 juta pergerakan penumpang, dengan sektor antarabangsa dan domestik masing-masing berkembang 7.8 peratus dan 12.3 peratus kepada 4.3 juta pergerakan penumpang.

 

Pergerakan penumpang antarabangsa bagi destinasi ASEAN dan bukan ASEAN masing-masing meningkat 8.0 peratus dan 7.5 peratus kepada 2.2 juta penumpang.

 

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pergerakan penumpang meningkat 9.3 peratus kepada 5.1 juta penumpang pada Oktober, 2019, manakala pergerakan penumpang di SGIA merekodkan pertumbuhan 7.1 peratus tahun ke tahun dengan 3.1 juta penumpang.

 

Jumlah penumpang Malaysia melonjak 10.0 peratus pada Oktober, 2019 dengan pertumbuhan kukuh kedua-duanya daripada sektor domestik (12.3 peratus) dan antarabangsa (7.8 peratus), hasil daripada faktor peningkatan purata muatan sebanyak 2.7 peratus untuk kedua-dua sektor tersebut.

 

Bagi sektor antarabangsa, kedua-dua kenaikan peratusan dan pergerakan mutlak adalah yang tertinggi bagi tahun itu.

 

“Prestasi keseluruhan pergerakan penumpang disumbangkan oleh permintaan kukuh terhadap perjalanan udara disokong oleh peningkatan pesawat dan kekerapan, serta penambahan laluan baharu,” kata MAHB.

Berita selanjutnya