Usaha Bersepadu Demi Selamatkan Gajah Pygmy Borneo

Oleh Rohana Nasrah

 

Wartawan Bernama di Kota Kinabalu, Sabah, Rohana Nasrah menyingkap kehidupan gajah di bumi Sabah serta kebimbangan ia akan pupus sekiranya tiada langkah tegas menangani perbuatan pemburu haram membunuh haiwan ini sesuka hati mereka.

 

Untuk bahagian 4 dari 5 bahagian ini, Rohana menemu bual Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew untuk mendapatkan penerangan usaha kerajaan negeri Sabah untuk memastikan kepentingan gajah Pgymy Borneo terpelihara daripada kepupusan.

 

 

KOTA KINABALU (Bernama): Belum reda berita seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati pada 25 Sept di Tawau dengan 70 das tembakan, seekor lagi gajah pygmy ditemui mati juga dipercayai ditembak, pada 19 Okt di Sandakan.

 

 

Pada 3 Nov, bangkai gajah pygmy yang sudah reput ditemui pula terapung di Sungai Kinabatangan.

 

Ketiga-tiga kes itu yang dilaporkan berlaku dalam tempoh lima minggu, menjadikan jumlah gajah yang mati dipercayai dibunuh pemburu haram sepanjang 2019 setakat ini sebanyak 21 ekor!

 

Semestinya bukan sahaja rakyat Sabah yang berduka dengan pembunuhan kejam ini tetapi juga pencinta hidupan liar ini yang bimbang ia akan pupus jika terus menjadi mangsa kerakusan manusia.

 

Persoalan yang perlu dirungkai segera ialah apakah terlalu lemah sekali pemantauan hidupan liar di Sabah sehinggakan pembunuhan gajah pygmy ini masih berleluasa?

 

Dan, adakah kerajaan Sabah mempunyai pelan tindakan lebih holistik serta inisiatif untuk menangani isu pembunuhan hidupan liar yang juga khazanah berharga negeri ini di samping menangani konflik manusia dan gajah?

 

 

KONFLIK MANUSIA-GAJAH DI SABAH WUJUD SEJAK 1960

 

Kalau hendak diikutkan, konflik manusia dan gajah di Sabah bukanlah satu perkara baharu.

 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, situasi itu sudah wujud sejak 1960 lagi apabila kawasan hutan di Sabah mulai diteroka sedikit demi sedikit untuk tujuan pembangunan terutama bagi sektor perladangan kelapa sawit.

 

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah turut mendedahkan bahawa kementeriannya mencatat sebanyak 145 kematian gajah di Sabah sejak 2010.

 

Punca kematian antaranya akibat kegiatan pemburuan haram, pembunuhan balas dendam, keracunan, kemalangan dan penyakit.

 

“Jumlah yang dicatat dalam tempoh hampir 10 tahun ini agak besar apatah lagi dalam keadaan spesies gajah di Sabah semakin diambang kepupusan dengan hanya kira-kira 2,000 ekor sahaja yang tinggal, ” katanya.

 

Justeru, Liew berkata, langkah drastik perlu diambil bagi memastikan populasi gajah tidak terus berkurangan yang boleh menjurus kepada kepupusan serta dikhuatiri hidupan liar berkenaan berdepan nasib sama seperti badak sumbu di Sabah.

 

Tragis sekali badak sumbu di Sabah hanya tinggal seekor dan lebih menyedihkan keadaan kesihatan haiwan itu itu tidak begitu baik.

 

 

KONFLIK BERTAMBAH TEGANG

 

Konflik antara manusia dan gajah dilihat semakin meruncing kerana banyak kawasan hutan serta habitat semula jadi hidupan liar itu diteroka untuk dijadikan kawasan pertanian khususnya tanaman kelapa sawit.

 

Ini membuatkan semakin sukar untuk gajah mencari makan di kawasan habitat semula jadi yang semakin hari semakin mengecil.

 

“Langkah meneroka kawasan hutan untuk memajukan pertanian kelapa sawit berskala besar menjadi antara penyumbang kepada peningkatan konflik manusia dan gajah seperti dihadapi sekarang,

 

“Meskipun masih terdapat blok hutan yang agak besar di bahagian tengah Sabah, tetapi hanya sebilangan kecil hutan sesuai untuk gajah mendapatkan makanan kerana selebihnya kawasan itu berbukit dengan lereng curam dan tidak dapat dilalui oleh hidupan liar itu, “ kata Liew kepada Bernama.

 

Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan gajah terpaksa memasuki ladang kelapa sawit serta beberapa kebun penduduk kampung sehingga berlaku kerosakan tanaman.

 

 

KORIDOR MAKANAN, KESEDARAN PEKERJA LADANG KELAPA SAWIT

 

Bagi mewujudkan situasi menang-menang, Liew menyarankan syarikat perladangan kelapa sawit yang beroperasi di Sabah supaya memperuntukkan beberapa kawasan dalam ladang sebagai koridor laluan makanan gajah.

 

Ini, jelas beliau, bagi mengelakkan haiwan tersebut menjadi ancaman kepada tanaman kelapa sawit terutama yang berusia di bawah lima tahun.

 

Mengambil contoh habitat gajah berpecah-pecah di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, Liew berkata, adalah sangat penting untuk setiap ladang kelapa sawit beroperasi berhampiran kawasan itu menyediakan koridor laluan bagi memudahkan hidupan liar itu bergerak mencari makanan dan habitatnya.

 

Syarikat ladang kelapa sawit juga diminta bekerjasama rapat dengan JHL Sabah dengan memberi maklumat sekiranya ternampak kumpulan gajah berada dalam kawasan mereka supaya pasukan renjer hidupan liar dapat digerakkan untuk menyelamat dan menempatkan gajah berkenaan di kawasan yang lebih selamat.

 

“Ladang-ladang kelapa sawit yang menghadapi konflik gajah tidak sepatutnya membahayakan haiwan itu atau membenarkan orang lain terutama pemburu haram masuk ke kawasan ladang,” tegasnya.

 

Setiap syarikat ladang kelapa sawit, juga kata beliau, bertanggungjawab besar memberi kesedaran kepada pekerja ladang dalam mewujudkan suasana kehidupan bersama dengan gajah selain tidak membunuh gajah yang jelas melanggar undang-undang ditetapkan kerana gajah adalah haiwan dilindungi di Sabah.

 

Gajah pygmy adalah spesies dilindungi di bawah Jadual I ’Spesies Dilindungi Sepenuhnya’, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

 

 

PINDA ENAKMEN, SELARASKAN UNDANG-UNDANG DENGAN PERSEKUTUAN

 

Menurut Liew, kerajaan Sabah meminda Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 pada 2016 bagi meningkatkan hukuman sedia ada, namun, ia masih tidak mampu menghalang individu tidak bertanggungjawab daripada terus melanggar undang-undang, meskipun, ada yang sudah disabitkan kesalahan.

 

Beliau berpendapat Sabah perlu meminda enakmen itu sekali lagi bagi membolehkan hukuman serta penalti lebih tegas dan berat dikenakan kepada penjenayah hidupan liar terutama pemburu haram sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan perkara sama.

 

Kerajaan Sabah juga mahu penguatkuasaan undang-undang berkaitan pemuliharaan hidupan liar diselaraskan dengan kerajaan Persekutuan dengan mengkaji terlebih dahulu perubahan dilakukan menerusi pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

 

“Kerajaan Persekutuan berhasrat meminda akta itu. Kita akan melihat sejauh mana hukuman ditingkatkan (melalui pindaan itu) dan kemudian baharu kita akan meminda undang-undang di Sabah. Langkah ini untuk memastikan penguatkuasaan udang-undang di Sabah selaras dengan Persekutuan,” jelasnya.

 

Selain itu, lialibiti juga akan ditetapkan supaya jika ada gajah ditemui mati dibunuh di sesuatu kawasan termasuk ladang kelapa sawit, maka, pemilik ladang atau mana-mana individu berkaitan dengan kawasan kejadian perlu bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung kejadian tersebut, katanya.

 

 

TAMBAH RENJER HIDUPAN LIAR

 

Kekurangan pasukan barisan hadapan termasuk renjer hidupan liar adalah antara kekangan untuk memaksimumkan setiap sudut perlindungan hidupan liar yang turut memberi kesan kepada usaha pemantauan.

 

Mengulas lanjut, Liew berkata, keadaan tersebut, katanya, turut menyebabkan penjenayah hidupan liar terus semakin berani melakukan jenayah kerana melihat risiko ditangkap adalah rendah.

 

Justeru, Liew berkata, kerajaan Sabah akan menambah jumlah renjer hidupan liar bagi membolehkan kekerapan pemantauan dan perlindungan hidupan liar ditingkatkan seterusnya memudahkan jabatan terlibat menjalankan siasatan berkaitan.

 

Pada masa ini, hanya seramai 60 renjer hidupan liar di Sabah yang ditempatkan di 14 pejabat JHL di seluruh negeri, katanya.

 

Liew berkata hasrat menambah jumlah renjer hidupan liar termasuk mengambil lebih ramai doktor haiwan akan dapat direalisasikan sekiranya Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Sabah 2020-2030 diluluskan oleh kerajaan negeri.

 

“Dokumen pelan tindakan itu sudah siap dan dijangka dibentangkan kepada Kabinet negeri pada tahun depan untuk kelulusan seterusnya.

 

“Pelan ini mampu melancarkan pembangunan sosioekonomi di kawasan yang mempunyai gajah berjalan selain memperkasakan lagi usaha pemuliharaan haiwan tersebut.

 

“Ia akan menjadi garis panduan dalam setiap tindakan Sabah untuk menyelesaikan konflik manusia dan gajah. Kementerian saya akan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri supaya sumber dan peruntukan diperlukan JHL Sabah dapat disediakan ke arah menjayakan pelan tindakan ini,” katanya.

 

 

GALAK SEKOLAH PERKASA PROGRAM KESEDARAN HIDUPAN LIAR

 

Seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, Liew turut menggalakkan sekolah di Sabah memperkasakan program kesedaran di kalangan generasi muda termasuk pelajar.

 

Antara aktiviti yang boleh dijalankanb termasuk pameran, sudut hidupan liar atau pertandingan melukis agar generasi muda terdidik untuk bersama-sama menjaga kepentingan konservasi hidupan liar.

 

Beliau optimis sekiranya kesedaran memulihara hidupan liar diterapkan sejak di bangku sekolah lagi, ia mampu melahirkan rakyat Sabah yang mempunyai jiwa ihsan seterusnya menjadi duta mempromosikan keunikan hidupan liar dan alam semula jadi terdapat di negeri ini.

 

“Usaha ini juga akan membolehkan Sabah menjadi sebuah negeri mesra dan penyayang terhadap gajah. Kita mahu lakukan itu,” katanya.

Berita selanjutnya