UMT hasilkan produk rawatan udang guna ekstrak daun gelam

KUALA NERUS, 19 Nov: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memanfaatkan pokok gelam yang tumbuh meliar sekitar kawasan pantai negeri ini dengan menghasilkan produk bagi membantu pengusaha akuakultur menangani masalah penyakit pada udang dan ikan peliharaan mereka.

 

Timbalan Pengarah Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) UMT, Prof Madya Marina Hassan berkata beliau mengambil masa lebih tiga tahun untuk menghasilkan produk ‘LeucaDrop’ daripada ekstrak daun pokok gelam.

 

Beliau berkata produk itu adalah satu-satunya yang pernah dihasilkan menggunakan ekstrak daun gelam di negara ini dan selain udang, ia juga sesuai digunakan untuk merawat penyakit kulit pada ikan air masin.

 

“Orang-orang tua kita dahulu menggunakan pokok gelam untuk tujuan perubatan tradisional seperti menyembuh luka, penyakit kulit dan juga mengubati asma.

 

“Di pasaran banyak dijual produk kosmetik dan perubatan berasaskan pokok gelam seperti minyak kayu putih, tetapi ia hanya untuk manusia dan belum ada lagi untuk haiwan akuatik,” katanya ketika ditemui di UMT.

 

Mengulas lanjut Marina yang juga pakar veterinar berkata proses penghasilan ‘LeucaDrop’ mengambil masa yang panjang kerana perlu melalui pelbagai proses seperti ujian makmal dan kajian klinikal yang rumit serta teliti.

 

Ia bagi memastikan ekstrak tersebut tidak menjadi toksik kepada udang serta tahap kesihatan haiwan tersebut dalam melawan penyakit perlu dipantau setelah diberikan ekstrak itu mengikut dos tertentu.

 

“Kita menggunakan daun gelam yang sederhana iaitu tidak terlalu muda atau tua untuk diekstrak dan ditukar kepada bentuk serbuk dan seterusnya kepada bentuk cecair titis.

 

“Untuk satu liter air masin, hanya satu titik ‘LeucaDrop’ diperlukan dan ia dapat merawat penyakit bakteria seperti penyakit ‘red disease syndrome’ dan jangkitan parasit ‘ectoparasites’ pada induk udang dengan cepat,” katanya yang juga ahli patologi.

 

Marina berkata ‘LeucaDrop’ yang mempunyai fungsi antibiotik amat sesuai digunakan oleh pengusaha ternakan udang air masin kerana ia lebih mesra alam berbanding antibiotik biasa yang digunakan dengan meluas dalam industri pada masa ini.

 

Selain itu kosnya juga dapat dapat dijimatkan sehingga 80 peratus, katanya.

 

“Antibiotik yang digunakan dalam industri ternakan udang sangat mahal harganya dan ia juga mempunyai isu-isu lain seperti alam sekitar dan kesihatan terhadap manusia serta haiwan disebabkan pengumpulan antibiotik dalam tisu badan.

 

“Dengan penggunaan ‘LeucaDrop’ hasil tuaian juga pasti lebih berganda kerana ia dapat meningkatkan tahap kesihatan udang, mengurangkan tekanan dan melawan penyakit berpunca daripada bakteria serta parasit yang menjadi musuh nombor satu industri udang negara,” katanya yang sedang mencari rakan industri yang berminat untuk mengkomersialkan produk berkenaan.

 

Berita selanjutnya