Kes kanser payudara pada tahap membimbangkan

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Kes kanser payudara di negara ini berada pada tahap amat membimbangkan apabila ia menjadi pembunuh nombor satu wanita, dengan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2007-2011 mendedahkan 31.1 kes kanser itu berlaku dalam setiap 100,000 penduduk di negara ini.

 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dalam kebanyakan kes kanser payudara yang dicatatkan, 43 peratus yang mendapatkan ujian saringan mengesan kanser payudara berada pada tahap kritikal iaitu tahap ketiga dan keempat.

 

“Kerajaan komited dalam menangani kes kanser payudara. Menerusi Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM216.9 juta bagi tujuan rawatan kanser.

 

“Usaha menangani kanser payudara yang sering dilaporkan berlaku terhadap golongan wanita ini perlu melibatkan penggembelengan seluruh masyarakat bukan sahaja kerajaan dan syarikat korporat malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program Mamogram Percuma Etiqa – fasa ketiga dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) di sini, hari ini.

 

Program tersebut yang turut dijalankan di beberapa hospital terpilih di sekitar Semenanjung Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM2 juta menyediakan 6,000 pemeriksaan kanser payudara percuma untuk wanita yang kurang bernasib baik dan berusia 40 tahun ke atas.

 

Program Mammogram Percuma Etiqa fasa ketiga itu merupakan lanjutan kejayaan fasa satu dan dua program itu yang telah memberi manfaat kepada 11,000 wanita kurang berkemampuan di seluruh Semenanjung.

 

Dzulkefly berkata kanser payudara adalah pembunuh kedua selepas kanser paru-paru dan antara 14 jenis penyakit pembunuh, dan oleh itu, diagnosis awal kanser dapat menghindari pesakit kanser berada pada tahap yang lebih kritikal dan sukar dirawat sehingga boleh menyebabkan kematian.

 

Katanya program mammogram percuma mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya pemeriksaan kanser payudara dalam kalangan wanita yang kurang berkemampuan.

 

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan mewajibkan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak bermula tahun depan, Dzulkefly berkata keputusan mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

“Kita telah tubuhkan jawatankuasa khas yang akan membentangkan dapatan maklumat lanjut sebelum ia diputuskan,” katanya.

 

Terdahulu dilaporkan kerajaan mencadangkan untuk mewajibkan ibu bapa memberi suntikan imunisasi kepada anak-anak mereka.

Berita selanjutnya