Kaji selidik gaji: Tidak ramai terima kenaikan meskipun kuantum tinggi

KUALA LUMPUR, 27 Nov : Hanya sedikit majikan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja mereka tahun ini walaupun kuantum peningkatan agak tinggi, demikian menurut Kaji Selidik Gaji MEF 2019 bagi Eksekutif dan Bukan Eksekutif.

 

Presiden MEF Tan Sri Azman Shah Haron, yang melancarkan terbitan terbaharu MEF itu, di sini, hari ini, berkata 88.3 peratus responden memberikan kenaikan gaji kepada eksekutif berbanding 92.4 peratus pada 2018 manakala bagi bukan eksekutif adalah sebanyak 87.6 peratus (92.7 peratus pada 2018).

 

“Bagaimanapun, purata kenaikan gaji bagi eksekutif dan bukan eksekutif pada 2019 adalah tinggi masing-masing pada 5.15 peratus dan 4.96 peratus berbanding 4.88 peratus bagi kedua-duanya pada 2018.

 

“Keseluruhan purata kenaikan gaji yang diunjurkan bagi eksekutif pada 2020 sedikit rendah berbanding purata sebenar kenaikan gaji pada 5.15 peratus pada 2019, dan 5.01 peratus pada 2020 (4.96 peratus pada 2018) bagi bukan eksekutif,” kata Azman Shah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kemudiannya.

 

Beliau berkata dari segi bonus, 78 peratus daripada syarikat responden memberikan bonus kepada semua eksekutif sama dengan 2018. Bagi bukan eksekutif, ia sedikit rendah pada 76.8 peratus berbanding 78.7 peratus pada 2018.

 

Purata bonus diunjurkan bagi eksekutif sebanyak 1.9 bulan bagi 2020 adalah sama dengan bonus sebenar pada 2019 dan tinggi sedikit bagi bukan eksekutif pada 1.79 bulan berbanding 1.67 bulan bonus sebenar pada 2019, katanya.

 

Azman Shah berkata kira-kira 52 peratus syarikat responden melaksanakan sistem gaji berdasarkan produktiviti atau prestasi (PLWS) bagi kakitangan mereka.

 

Menurutnya, lebih daripada 90 peratus menunjukkan alasan utama bagi pelaksanaan adalah untuk memberi ganjaran kepada pekerja yang cemerlang dan menambah baik produktiviti (lebih daripada 80 peratus), diikuti meningkatkan daya saing syarikat  (72 peratus), dan untuk memotivasikan pekerja yang mencatatkan prestasi biasa (68 peratus).

 

Kedua-dua Kaji Selidik Gaji itu disertai 252 syarikat daripada sektor pembuatan dan bukan pembuatan.

 

Laporan eksekutif meliputi 151 jawatan diukur rujuk seramai 18,782 eksekutif, manakala laporan bukan eksekutif meliputi 48,098 bukan eksekutif dengan 109 jawatan diukur rujuk.

 

Kaji Selidik Gaji MEF juga termasuk bahagian baharu program latihan di mana didedahkan bahawa 88 peratus daripada syarikat responden berpandangan program seumpama itu dapat melahirkan lebih ramai graduan yang boleh diambil bekerja.

 

Berita selanjutnya