Armani Media lancar jenama 100 pemaju hartanah terkemuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Nov : Armani Media Sdn Bhd melancarkan “Jenama 100 Pemaju Hartanah Terkemuka Malaysia’, ranking bagi pemaju hartanah terkemuka di Malaysia yang menawarkan maklumat yang lebih jelas mengenai hartanah kepada bakal pembeli.

 

Pengasas Armani Media Datuk KK Chua berkata ranking Jenama 100 Pemaju Hartanah Terkemuka Malaysia itu adalah berdasarkan kepada empat asas utama — suara rakyat, kedudukan kewangan pemaju hartanah, jenama terkenal dan berkaliber.

 

“Kami mengumpulkan maklumat dan penilaian daripada pembeli dan bakal pembeli, dengan senarai pertama dijangka dikeluarkan awal tahun depan,” katanya.

 

Beliau berkata ranking dimulakan oleh Property Insight, majalah hartanah terlaris di Malaysia diikuti dengan cadangan daripada pembaca yang mahu membeli hartanah tanpa perlu rasa bimbang tentang prestasi pemaju.

 

Property Insight ketika ini bekerjasama dengan Acorn Marketing & Research Consultants Sdn Bhd (Acorn), penyelidik pasaran bebas terbesar Asian dan kumpulan perunding yang mempunyai pejabat di 11 negara seluruh Asia.

 

Jenama 100 Pemaju Hartanah Terkemuka Malaysia akan menyediakan penilaian mengenai hutang para pemaju, sama ada mereka disenarai hitam atau tidak oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, atau mempunyai reputasi buruk atau hasil kerja yang kurang baik dan harga berlebihan.

 

“Kami percaya mengenai pentingnya menyampaikan cerita tentang jenama kerana ia adalah cara terbaik kepada pelanggan untuk mengingati sesuatu jenama. Dalam tempoh yang kompetitif dan mencabar sekarang, hanya pemaju yang mempunyai jenama yang kukuh akan kekal.

 

“Mana-mana syarikat yang tidak mempunyai jenama, akan terus berjuang bagi memastikan mereka kekal di pasaran pada masa depan,” katanya.

 

Chua berkata inisiatif ranking ini boleh digunakan sebagai penanda aras atau kayu ukur kepada pembeli hartanah.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Acorn Michael Chong berkata inisiatif ini akan jadi yang pertama dilaksanakan di Malaysia.

 

“Kami percaya bahawa ia akan menjadi pencetus perubahan dalam industri hartanah di Malaysia.

 

“Ia juga akan menjadi contoh kepada pemaju untuk lebih cemerlang dalam rangkaian mereka, dan kami berharap ranking ini boleh digunakan bagi membantu pembeli hartanah untuk membuat keputusan yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

 

Berita selanjutnya