Jabatan Perikanan tidak jumpa paus Humpback

LUMUT, 4 Dis: Jabatan Perikanan masih belum menemui ikan paus mirip spesis Humpback yang didakwa muncul di perairan Batu Malang, Teluk Senangin di sini, sejak Sabtu lepas.

 

Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata kali terakhir nelayan mendakwa melihat paus itu adalah pada pagi Isnin di perairan antara Teluk Senangin dan Pulau Pangkor.

 

Bagaimanapun, katanya, operasi pencarian sejak Isnin lepas tidak menemui mamalia tersebut yang dikatakan pertama seumpamanya ditemui di perairan semenanjung Malaysia.

 

“Kita cari untuk melihat keadaannya sama ada sihat atau tidak atau sekiranya ada tersangkut pukat pada badannya untuk kita bantu yang sepatutnya, namun gagal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Mohd Tamimi berkata selain lokasi yang didakwa nelayan melihat kehadiran ikan paus itu, pihaknya turut meluaskan kawasan pencarian sehingga ke perairan Pantai Remis dan Pulau Pangkor.

 

“Ikan paus itu dipercayai masih hidup kerana jika sudah mati pasti bangkainya akan terdampar di sini dan mungkin ia bergerak mengikut arus untuk mencari makanan,” katanya.

 

Mohd Tamimi berkata pihaknya juga masih menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan rakaman video tular menunjukkan ikan paus yang dipercayai masih muda itu.

Berita selanjutnya