Lima penyelidik ke Antartika untuk kaji bangkai penguin dan kitaran nutrisi

SHAH ALAM, 4 Dis : Sekumpulan lima penyelidik dari tiga universiti awam dijangka berlepas ke Antartika pada 16 Dis ini bagi mengkaji struktur komuniti nekrobium dan profil kimia tanah berkaitan bangkai penguin serta korelasinya dengan kepadatan tulang di bawah iklim benua berkenaan.

 

Projek ‘Kembara Penyelidik Malaysia ke Antartika’ itu akan berlangsung selama tiga minggu sehingga 6 Jan hadapan, melibatkan kos berjumlah RM150,000 yang dibiayai menerusi geran daripada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

 

Kumpulan penyelidik itu diketuai oleh Ahli Entomologi Forensik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Heo Chong Chin; Ahli Mikrobiologi Perubatan UiTM, Prof Madya Dr Jamal Hussaini; Ahli Radiografi Perubatan UiTM, Mohd Hafizi Mahmud; Ahli Genetik Pusat Penyelidikan dan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Dr Lucas Low Van Lun; serta Ahli Kimia Tanah Jabatan Sains Kimia Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Siti Sofo Ismail.

 

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata kajian berkenaan akan dilakukan di Stesen Penyelidikan Raja Sejong milik Institut Penyelidikan Kutub Korea (KOPRI), Pulau St George di benua Antartika.

 

“Matlamat utama penyelidikan yang dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun ini adalah untuk memahami proses penguraian bangkai penguin dalam persekitaran sejuk ekstrem di Antartika selain mengenal pasti jenis bakteria dan artropoda dalam proses penguraian itu.

 

“Penyelidikan itu juga adalah untuk mengkaji perubahan yang berlaku kepada bahan kimia dalam tanah yang berada di bawah bangkai itu, dan perubahan terhadap kepadatan tulang penguin mengikut masa di Antartika,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif YPASM, Mohd Nasaruddin Abd Rahman.

 

Sementara itu, Dr Heo menjelaskan, penyelidikan bagi memahami penguraian bangkai penguin di Antartika itu akan menerapkan lebih pengetahuan mengenai pemuliharaan biodiversiti kutub, keselamatan makanan global dan arkeologi forensik.

 

Beliau berkata penglibatan dalam kajian seumpama itu dilihat penting untuk memulakan, membangun dan menyumbang kepada penyelidikan saintifik antarabangsa di rantau Antartika.

 

“Malaysia merupakan ahli dalam Sistem Perjanjian Antartika (ATS) dan Jawatankuasa Penyelidikan Saintifik Antartika (SCAR).

 

“Maka, saintis Malaysia terlibat secara aktif dalam penyelidikan sedemikian dan hasil serta data kami kelak akan dikongsikan kepada SCAR untuk digunakan dalam membuat dasar dan keputusan,” katanya.

Berita selanjutnya