Pelancong wanita warga Hungary mati lemas di Pantai Tengah

LANGKAWI, 4 Dis : Seorang pelancong wanita warga Hungary yang baru tiba di sini hari ini ditemukan mati lemas semasa mandi di Pantai Tengah berhampiran sebuah resort di sini petang ini. 

 

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian berlaku semasa Dr Barany Ilona Sacal, 61, yang menginap di resort itu bersama 37 rakan senegaranya dikatakan sedang mandi bersendirian di lokasi itu.

 

“Balai Polis Padang Matsirat menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 4.10 petang yang memaklumkan bahawa kakitangan resort itu menemukan mayat mendiang yang dipercayai mati lemas ketika sedang mandi seorang diri di lokasi berkenaan.

 

“Difahamkan ketika kejadian orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba memberi bantuan kecemasan namun mangsa gagal diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Mohd Iqbal berkata beliau difahamkan rakan mendiang telah memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga mendiang di Hungary.

 

“Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk proses bedah siasat yang akan dilakukan esok pagi,” katanya.

Berita selanjutnya