Pameran Robot Antarabangsa 2019 berlangsung di Tokyo, bermula 18 Dis

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Persatuan Robot Jepun dan THE NIKKAN KOGYO SHIMBUN akan mengadakan Pameran Robot Antarabangsa 2019 (iREX 2019) di Tokyo Big Sight, Jepun, dari 18 hingga 21 Dis, dengan tema ‘Ke arah masyarakat lebih mesra, dihubungkan oleh robot’.

 

Menurut satu kenyataan, tahun ini merupakan kali ke-23 acara dwitahunan pameran perdagangan robot terbesar dunia itu diadakan.

 

Acara tersebut memberi peluang untuk menyaksikan robot berteknologi canggih dari Jepun dan luar negara, serta pelbagai paparan daripada pembuat robot industri disamping produk berkaitan dan teknologi seperti Internet untuk Segalanya (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI), dibawah satu bumbung.

 

Pameran tersebut bertujuan untuk mengumpul dan mempamerkan robot industri dan perkhidmatan serta peralatan berkaitan seluruh dunia, membantu meningkatkan teknologi untuk menggunakan robot dan pembangunan pasaran, serta menyumbang kepada pembentukan pasaran baharu dan mempromosikan robot teknologi industri.

 

Bayaran masuk bagi acara tersebut adalah JPY 1,000 (JPY 100 = RM3.83) manakala pelawat yang telah membuat pra-pendaftaran atau secara jemputan, serta pelawat yang berumur 16 tahun ke bawah kemasukan adalah percuma.

 

Seramai 637 pempamer dan 3,060 reruai akan berada di acara tersebut. Antara negara yang terlibat menyertai pameran tersebut ialah Amerika Syarikat, Itali, Austria, Kanada, Korea Selatan, Singapura, Switzerland, Sweden, Thailand dan China.

Berita selanjutnya