Pasar raya ke-5 ´Jalan Jalan Japan´ akan dibuka di Bandar Baru Bangi, 28 Dis

KUALA LUMPUR, 9 Dis: BOK MARKETING Sdn Bhd, syarikat cawangan BOOKOFF CORPORATION Ltd, akan membuka pasar raya barangan terpakai kelima ‘Jalan Jalan Japan’ (JJJ Superstore) pada 28 Dis ini di Bandar Baru Bangi.

 

Semua barangan adalah barangan terpakai dan diimport dari Jepun. Syarikat induk, ‘BOOKOFF’ adalah kedai barangan terpakai popular dengan lebih 800 cawangan di Jepun yang membeli lebih 400 juta barangan daripada pelanggan setiap tahun.

 

‘JJJ Superstore’ mempunyai tiga konsep, Barangan Terpakai di Jepun (Kualiti Baik); ‘Hargagiler’ (Harga Rendah); dan Stok Besar (Pencarian Barangan Klasik).

 

Setiap ‘JJJ Superstore’ memiliki kira-kira 200,000 barangan dalam pelbagai kategori termasuk pakaian, beg, kasut, perkakasan rumah, barangan bayi, permainan, barangan sukan, instrumen, hiasan, perabot dan aksesori.

 

Pasar raya itu menyediakan elemen ‘hiburan’ dan ‘kehidupan mewah’ kerana pelanggan boleh berbelanja dikelilingi pelbagai barangan terpakai di samping merasai budaya Jepun dan mendengar muzik J-POP.

 

Syarikat itu merancang membuka lebih 10 cawangan dalam beberapa tahun akan datang, menurut kenyataan.

 

Maklumat lanjut layari https://www.jalanjalanjapan.com.my.

Berita selanjutnya