Kebakaran: Cucu saudara terkilan gagal selamatkan nenek

PARIT BUNTAR, 12 Dis: “Saya tendang pintu depan untuk masuk ke dalam rumah, tapi gagal kerana pintu dan jeriji besi berkunci.

 

“Saya kemudian berlari ke arah dapur dan terus menendang pintu sebelum naik ke tingkat atas rumah kerana menyangka mereka ada di atas dan sempat mendengar suara meminta tolong,” kata cucu saudara dua wanita yang maut dalam kebakaran rumah awal pagi ini.

 

Nazri Musa, 24, dengan nada sedih berkata dia gagal menemui dua neneknya itu disebabkan asal tebal, api marak dan bahang yang panas sebelum berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

 

Aisyah Din, 78, dan adiknya Ida, 56, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) maut dalam kebakaran rumah di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang dekat sini awal pagi ini.

 

Nazri berkata sebaik menyedari kebakaran pada kira-kira 1.45 pagi, dia yang tinggal berhampiran terus berlari ke arah rumah yang didiami dua beradik itu untuk menyelamatkan mereka dan terkilan kerana gagal berbuat demikian.

 

Pemuda itu berkata dia juga trauma kerana 10 tahun dahulu rumahnya di kawasan sama hangus terbakar.

 

Menurut Nazri, Aisyah hanya mampu berjalan menggunakan tongkat, manakala adiknya pula mengalami ketumbuhan di bahagian kepala dan tidak mampu melihat dengan jelas dan tinggal berdua di rumah itu sejak 20 tahun lepas.

 

Mayat kedua-dua wanita itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Parit Lintang, di sini, petang ini.

Berita selanjutnya