Selepas permotoran empat roda, Hafizh Syahrin sertai sukan berbasikal pula

KUALA LUMPUR, 16 Dis:  Dari perlumbaan jentera dua roda ke jentera empat roda, kini pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan beraksi dalam sukan berbasikal pula.

 

Hafizh yang baru sahaja menamatkan aksi pada perlumbaan Kejuaraan Touring Car Dunia (WTCR) pada Ahad, akan mula membuat kayuhan lima peringkat Kejohanan Tour de Selangor 2019, dengan jarak keseluruhan sejauh 679.2km, pada 18-22 Dis ini.

 

“Saya akan cuba yang terbaik, buat masa sekarang saya tidak boleh jangka di mana tahap prestasi saya dalam sukan berbasikal. Saya tidak meletakkan sasaran podium, cukup sekadar habiskan lima peringkat, itu boleh dikira pencapaian yang bagus.

 

“Saya sendiri tidak buat latihan dengan rakan sepasukan yang lain kerana jadual yang padat. Sukan berbasikal ini pun bukan bidang saya, tapi disebabkan saya minat berbasikal dan ia sebahagian daripada latihan untuk sukan permotoran saya, jadi tidak salah cuba pergi lebih jauh,” katanya kepada pemberita, hari ini.

 

Beliau akan menyertai pasukan Amskin Racing Club (ARC), yang dibarisi pelumba pecut negara, Anuar Manan, Mohd Hafidz Hanid, Sofian Nabil Omar Bakri dan Mohd Irfan Satiran.

 

Hafizh yang bakal mencipta rekod baharu dengan menyertai perlumbaan berbasikal secara profesional dua hari lagi, mengakui gementar namun beliau menjadikan itu sebagai cabaran buat diri sendiri untuk lebih berdisiplin.

 

“Saya harap saya tidak ada masalah dari segi kecederaan atau apa. Semua sukan ada risikonya yang tersendiri namun saya akan lebih berhati-hati. Saya hanya mahu bantu pasukan saya,” katanya.

 

Untuk rekod, pada penyertaan sulung di WTCR, Hafizh mencipta kejutan apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-16 dalam perlumbaan ketiga, malam tadi.

 

Kapten pasukan ARC, Anuar berkata kesungguhan dan potensi Hafizh dalam bidang yang diceburinya menjadi sebab Hafizh dipilih untuk melengkap barisan pelumba ARC.

 

“Saya tengok Hafizh ada potensi. Dia pernah menang beberapa perlumbaan amatur. Dengan penyertaannya di Tour de Selangor sekurang-kurangnya boleh meningkatkan lagi prestasi beliau.

 

“Aktiviti berbasikal juga adalah sebahagian daripada regim latihan kecergasan pra-musim bagi sukan permotoran di mana 80 peratus daripada pelumba MotoGP menjadikan aktiviti berbasikal untuk meningkatkan kecergasan mereka. Saya harap dengan penyertaan ini kecergasan Hafizh meningkat untuk persediaan Moto2 musim hadapan,” kata Anuar.

 

Tour de Selangor 2019 adalah kejohanan berstatus 2.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Jelajah Asia.

 

Peringkat pertama dengan jarak 176.9km dari Pulau Indah ke Batang Kali akan bermula pada Rabu ini, diikuti peringkat kedua dari Sg. Buloh ke Kajang (159.4km), Cyberjaya ke Bukit Jugra (90.7km), Selayang ke Sungai Besar (144.6km) dan peringkat terakhir pada 22 Dis dengan jarak 108.2km dari Klang ke Shah Alam.

Berita selanjutnya