Melaka United buka ruang pemain muda serlah bakat

MELAKA, 20 Dis: Mengenal pasti pemain muda yang berpotensi antara tumpuan diberikan Ketua Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan, untuk diserapkan dalam skuad bimbingannya sebagai persediaan Liga Malaysia musim depan.

 

Beliau berkata lima pemain diuji dalam sesi latihan yang berlangsung sejak minggu lepas untuk mengisi slot pemain muda untuk diketengahkan seterusnya menimba pengalaman dan menjadi prospek pasukan masa depan.

 

“Kebanyakannya adalah pemain kelahiran negeri ini dan kita akan memilih dua hingga tiga pemain untuk mengisi tempat tersebut.

 

“Mereka juga perlu diberikan ruang lebih luas untuk beraksi serta mencari pengalaman, selain penting untuk masa depan sebagai pelapis pasukan ini,” katanya kepada Bernama.

 

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 57 tahun itu berkata persiapan pasukannya berada di tahap terbaik, selain mahu memastikan skuad kendaliannya mampu mencapai sasaran lebih baik daripada prestasi musim lepas.

 

Katanya melalui persediaan awal yang dilakukan sehingga kini, senarai pemainnya hampir lengkap yang dilihat sebagai seimbang daripada segenap aspek merangkumi pemain muda dan senior serta berpengalaman.

 

“Pemain-pemain telah turun berlatih sejak minggu lepas, cuma beberapa pemain import masih belum hadir melapor diri dan telah mendapat kebenaran. Dengan pemain yang ada untuk musim 2020, saya yakin pasukan ini mampu pergi lebih jauh,” katanya.

 

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) dalam kenyataan hari ini turut mengumumkan kemasukan dua pemain iaitu Jasmir Mehat dan Lee Yong Cheng yang akan menyarung jersi skuad Sang Kancil musim depan.

 

Jasmir, 25, sebelum ini pernah menjadi antara tonggak penting pasukan negeri kelahirannya apabila membantu Melaka United menjuarai saingan Piala Liga FAM 2015 seterusnya menamatkan kemarau 33 tahun kejuaraan Liga Premier pada musim 2016.

 

Sementara Yong Cheng, 24, pemain kelahiran Kuala Lumpur beraksi di posisi pertahanan itu menyertai Melaka United selepas membantu SAMB FC bersaing dalam Liga M3 musim lepas.

Berita selanjutnya