Olimpian terbaik 2019, Choon How umum persaraan

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Selepas mengakhiri tahun ini penuh cemerlang dengan dinobatkan sebagai pemenang anugerah Olimpian Terbaik 2019 malam tadi, atlet wushu Loh Choon How membuat kejutan dengan mengumumkan persaraannya.

 

Choon How, 26, yang mencatatkan pencapaian mengagumkan pada tahun ini dengan memenangi pingat perak pada Kejohanan Dunia dan dua pingat emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, berpendapat sudah tiba masanya untuk berundur selepas bergelut dengan kecederaan demi kecederaan.

 

Bagaimanapun, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berkata keputusannya untuk bersara tertakluk kepada kelulusan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM).

 

Dalam beberapa tahun ini, beliau mengalami pelbagai kecederaan daripada ligamen medial collateral terkoyak, meniscus dan otot belakang sehinggakan tulang belakang bengkok.

 

Choon How turut bergelut dengan kesakitan semasa memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA baru-baru ini.

 

“Keadaan saya amat teruk …malah sekarang saya tidak boleh berdiri lama; selepas 15 minit saya perlu duduk dan rehat. Semua kecederaan ini dialami sepanjang saya menjalani latihan dan pertandingan selama bertahun-tahun.

 

“Jadi saya menimbangkan untuk fokus pada pemulihan dan berehat, tetapi walaupun saya bersara, saya tidak akan berhenti daripada sukan wushu …saya akan meneruskan kerjaya saya dalam kejurulatihan dan membantu atlet lain dengan ilmu pengetahuan yang ada pada saya. Sudah pasti, prestasi pada tahun ini merupakan pencapaian terbaik dalam kerjaya sukan saya” katanya di sini selepas dinobatkan sebagai Olimpian Terbaik 2019 bagi kategori lelaki.

 

Choon How memenangi pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan SEA Filipina dalam acara taijiquan lelaki pada 1 Dis, dan kemudiannya meraih emas kedua dalam acara taijijian sehari kemudiannya.

 

Beliau berkata anugerah Olimpian Terbaik 2019 amat bermakna buat dirinya dan wushu, kerana beliau merupakan atlet wushu kedua untuk menerima penghormatan itu sejak 1993, selepas dimenangi Ho Ro Bin pada 2002.

 

Pada Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-26 itu, ratu gimnastik negara Farah Ann Abd Hadi dinobatkan sebagai Olimpian Terbaik 2019 bagi kategori wanita.

 

Kedua-dua atlet masing-masing menerima wang tunai RM10,000 dan pingat emas khas tajaan Syarikat Coca-Cola yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Sementara itu, Farah Ann, yang juga cemerlang dengan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan memenangi tiga pingat emas Sukan SEA di Manila, dalam acara wanita all-around, senam lantai dan palang bertingkat, menyifatkan tahun ini sebagai amat mengembirakan bagi dirinya.

 

“Saya sudah rasa amat bersyukur apabila dicalonkan untuk anugerah ini. Memenanginya sudah pasti amat bermakna. Bagi saya semua pahit manis yang dialami sepanjang tahun ini berbaloi, mendorong saya untuk membuat persediaan dari segi fizizal dan mental kerana saya tahu semua yang berlaku, yang menyenangkan dan kurang menyenangkan, ada rahmat yang tersembunyi.

 

“Saya tidak layak ke Olimpik Rio pada 2016, dengan margin tipis 0.1 disebabkan kesilapan, tidak berjaya meraih emas dalam acara palang bertingkat pada Sukan SEA 2015 dan 2017, hanya memenanginya pada tahun ini selepas sekian lama berusaha keras,” kata gimnas berusia 25 tahun itu.

 

Kali terakhir atlet gimnas artistik Malaysia mengambil bahagian dalam acara sukan terbesar itu ketika Au Li Yen layak ke Olimpik Sydney 2000.

 

Berita selanjutnya