Kekurangan bajet: Filipina tangguh Sukan Para Asean

KUALA LUMPUR, 20 Dis : Kekurangan bajet dan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) telah tidak memberikan mereka pilihan lain, selain menangguhkan Sukan Para Asean 2020 ke-10, ke satu tarikh baharu.

 

Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) dalam satu kenyataan berkata PHILAPGOC atas nasihat PSC telah mencadangkan tarikh 20-28 Mac 2020 sebagai tarikh baharu Sukan Para Asean ke-10.

 

Sukan Para Asean ke-10 itu pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 24 Jan 2020.

 

“Kesemua Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) dan negara anggota Persekutuan itu telah dimaklumkan dan telah diminta untuk membuat penyesuaian berikutan perubahan tarikh Sukan itu.

 

“APSF memohon kefahaman daripada semua pihak termasuk NPC, atlet, pegawai, kontinjen dari negara terbabit, bagi memastikan Sukan itu akan dapat dijalankan dengan jayanya pada Mac 2020,” kata Presiden APSF Mejar Jeneral Osoth Bhavillai dalam satu kenyataan.

 

Mengikut kenyataan itu, PHILAPGOC dalam suratnya kepada APSF telah menyatakan kesediaannya untuk menganjurkan Sukan itu pada Mac 2020.

 

Persekutuan itu akan terus memberikan bantuan kepada Jawatankuasa Penganjuran Tempatan (LOC) di kesemua kawasan, untuk memastikan Sukan itu berjalan dengan lancar dan jayanya.

 

Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan Sukan Para Asean 2020 di Filipina yang dijadualkan pada 18-14 Jan telah ditangguhkan kepada 20-28 Mac 2020.

Berita selanjutnya