Keunikan Arca Awam Serlah Keindahan Kuala Lumpur

Oleh Soon Li Wei

 

KUALA LUMPUR, 26 Dis : Seni arca bukan sahaja dapat menyerlahkan keindahan sesuatu kawasan, malah ia boleh menjadi identiti serta mercu tanda tarikan pelancong bagi sesebuah kota metropolitan.

 

Seni rekaan arca terbaharu yang unik baru-baru ini muncul di tengah-tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur atas inisiatif Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana), menerusi program ‘Art In the City’.

 

Cendana adalah agensi di bawah naungan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

 

Pada 2018, Cendana, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan program Art in the City yang bertujuan mengetengahkan hasil karya seni artis muda tempatan di samping mengiktiraf bakat mereka untuk tatapan umum.

 

Untuk edisi kedua Art in the City yang berlangsung dari 18 hingga 27 Okt lalu, agensi itu mengundang artis dan pengarca untuk mengemukakan idea bagi menonjolkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kebudayaan dan kreativiti.

 

Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung selama 10 hari itu menampilkan tiga arca awam dan karya seni instalasi berhampiran tapak ‘River of Life‘ (RoL) dan sekitar tempat tinjauan Masjid Jamek.

 

Ketiga-tiga seni arca itu ialah ‘Dome of Disappearance‘ yang diilhamkan oleh pereka seni bina Pamela Tan, 28; ‘Entwine‘ oleh pereka dalaman Joshua Teo, 24; serta ‘Wayang Tube‘ hasil idea gabungan sekumpulan artis tempatan – Filamen.

 

Ketiga-tiga arca berkenaan akan dipamerkan di kawasan itu sehingga Februari 2020.

 

Konsep program kali ini ialah untuk mendidik masyarakat supaya lebih menghargai dan mengenal seni selain karya berkenaan membawa mesej yang mudah ditafsir dan difahami oleh masyarakat.

 

SENI ARCA DI TENGAH IBU KOTA 

 

“Dome of Disappearance”,  arca putih berbentuk kubah masjid dan seakan-akan ‘sangkar’ menghiasi ruang di hadapan jambatan tempat tinjauan Masjid Jamek.

 

Di dalam ‘sangkar’ itu terdapat beberapa perca kain berbentuk empat segi yang dilukis dengan pemandangan dan kehidupan di ibu kota, digantung di sekeliling bahagian atasnya.

 

Perekanya, Tan berasal dari ibu kota kuala Lumpur berkata beliau mendapat ilham untuk menghasilkan arca tersebut daripada penglihatannya pertembungan kedua-dua sungai utama iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak yang berlatarbelakangkan Masjid Jamek.

 

“Pembangunan pesat menyebabkan kita hampir lupa sejarah terutamanya peristiwa yang pernah berlaku dan bangunan yang dibina ketika zaman penjajahan British.

 

Dome of Disappearance mempunyai tiga tujuan iaitu kolumbaria untuk mengarkib memori serta tapak di ibu kota Kuala Lumpur yang semakin pupus; rumah selamat untuk perkongsian serta mengeratkan komuniti dan untuk menggalakkan dialog yang bermakna.

 

“Ia diperbuat daripada panel plastik kitar semula, cat akrilik dan logam. Struktur arca itu dihasilkan daripada logam dipotong menggunakan cahaya laser serta diselaraskan dengan benang kapas,” jelasnya kepada Bernama.

 

Tan yang mempunyai ijazah dalam bidang Seni Bina, Universiti Greenwich, United Kingdom ini juga berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak karya berupa arca awam yang boleh memberi inspirasi kepada warga kota untuk mengembangkan ide.

 

Tidak jauh daripada Dome of Disappearance, terdapat arca berbentuk seakan-akan kapal terbang yang diperbuat daripada jubin plastik, cat akrilik dan logam yang diberi nama Entwine.

 

Perekanya, Teo seorang pereka hiasan dalaman berkata, Entwine adalah inspirasi daripada pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di tengah-tengah ibu kota ini.

 

“Penggunaan bahan plastik kitar semula ini demi untuk menekankan masalah sistem pengurusan sisa di Kuala Lumpur apabila plastik menjadi antara penyumbang terbesar banjir kilat di ibu kota,” kata Teo yang berasal dari Kuching, Sarawak.

 

Menyusuri lorong di sekitar RoL, di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad anda dapat menyaksikan sebuah lagi arca, hasil inspirasi gramofon antik yang diperbuat daripada paip PVC dan disepadukan dengan salur LED serta  logam.

 

Diberi nama ‘Wayang Tube’, ia dihasilkan sekumpulan artis tempatan – Filamen yang dianggotai pengasasnya Abdul Shakir Shukor, Fariz Hanapiah, Firdaus Rahman dan Farhan Fathee.

 

Menurut Abdul Shakir, karya berkenaan itu integrasi antara paip PVC terbuang dengan salur LED, projektor, pembesar suara mudah alih, layar unjuran sementara dan logam bagi mewujudkan bentuk seolah-olah alat muzik berinteraksi dengan pengunjung.

 

“Saya bersama tiga rakan (Fariz Hanapiah, Firdaus Rahman dan Farhan Fathee) turut mereka bentuk sebuah pembesar suara berupa tiub besar, kelihatan seperti gramofon yang mewakili era masa lalu yang semakin dilupai.

 

“Gramofon mewakili masyarakat terdahulu yang biasanya berkumpul beramai-ramai untuk mendengar serta menikmati alunan lagu. Paip PVC adalah antara bahan yang digunakan bagi menceritakan kesan buruk disebabkan sistem pengurusan sisa yang lemah di bandar raya ini,” katanya.

 

IKTIRAF HASIL KARYA PENGGIAT SENI TEMPATAN

 

Kurator Art In The City, Snow Ng berkata kawasan sekitar RoL dipilih bagi mempamerkan sentuhan artis tempatan ini kerana ia menyaksikan pembentukan ibu kota Kuala Lumpur, selain kedudukan strategik Masjid Jamek di situ.

 

“Para artis bertumpu ke RoL, seolah-olah ditarik oleh suatu semangat awal yang pernah menarik para peneroka awal Kuala Lumpur. Semangat yang sama juga menarik kita semua untuk mendekati kawasan sungai.

 

Menurut Ng, mereka diberi tiga pilihan untuk lokasi pameran iaitu – Medan Pasar, Pocket Park di KLCC dan tempat tinjauan Masjid Jamek. Akhirnya tempat tinjauan Masjid Jamek dipilih untuk mempamerkan karya seni.

 

Beliau berkata di Eropah, pemasangan seni arca awam serta lukisan membuatkan golongan artis dihargai oleh masyarakat setempat. Mereka akan mengunjungi galeri serta muzium dan membeli hasil karya artis berkenaan.

 

“Menerusi Program ini, kami mahu mewujudkan budaya yang serupa. Orang ramai bukan sahaja menghargai lukisan dan seni persembahan tetapi juga seni arca, “ tambahnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Cendana Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, artis yang terpilih untuk terbabit dalam pameran tahun ini tertarik kepada RoL kerana ia mempunyai semangat sama yang menarik penduduk awal ketika meneroka Kuala Lumpur.

 

Diterjemah dan disunting oleh Rafeáton Md. Ali dan Melati Mohd Ariff

Berita selanjutnya