Kejohanan kelayakan ke tokyo tidak bertindih sukan para asean 2020

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Peluang untuk skuad memanah para merebut slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak terjejas dengan penundaan Sukan Para ASEAN 2020.

 

Jurulatih skuad memanah para negara, Marzuki Zakaria berkata walaupun temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu ditunda ke Mac depan, namun ia tidak ‘bertindih’ dengan tarikh kejohanan kelayakan ke Tokyo 2020 yang dijadualkan pada Jun.

 

Atlet negara masih mempunyai peluang terakhir merebut tiket ke Tokyo 2020 di Kejohanan Memanah Para Dunia 2020 pada 13 hingga 21 Jun, tahun hadapan.

 

“Penangguhan Sukan Para ASEAN memang tidak ganggu proses kita cari slot ke Sukan Paralimpik. Cuma sudah pasti berita penundaan itu sedikit sebanyak beri kesan dari segi psikologi atlet,” katanya kepada Bernama, hari ini.

 

Sehingga kini, dua atlet memanah para telah layak ke temasya sukan terbesar dunia Tokyo 2020 iaitu atlet memanah recurve para negara, S. Suresh dan atlet memanah compound para negara, Julin Wiro.

 

Untuk rekod, Sukan Para Asean ke-10 pada asalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Jan 2020, namun atas masalah dihadapi ia dicadang diadakan pada 20 hingga 28 Mac.

 

“Prestasi mereka okay cuma mereka sudah ‘set’ dalam diri, bulan Januari kita akan bertanding di Sukan Para ASEAN, namun tiba-tiba tidak jadi. Tapi sebagai jurulatih, saya sudah bercakap dengan mereka supaya jangan hilang fokus.

 

“Tidak kira ia ditunda berapa lama, fokus kena sentiasa ada. Atlet kena sentiasa bersedia sebab kita tidak boleh jangka apa yang bakal jadi. Jika hilang fokus, maka hilanglah prestasi dan kejayaan yang sudah hampir kita kecapi,” katanya.

 

Marzuki berkata sebagai langkah agar prestasi atlet tidak terganggu, Majilis Sukan Negara (MSN) mencadangkan untuk mengadakan kejohanan simulasi pada tarikh awal Sukan Para ASEAN iaitu pada 18-24 Jan, depan.

 

Katanya, pihaknya akan mencari venue untuk memastikan cadangan MSN itu dapat dilaksanakan bagi memastikan atlet memanah para menyertai kejohanan simulasi itu.

Berita selanjutnya