Mural Amelia Mary Earhart terbesar di Malaysia di Taiping

TAIPING, 27 Dis: Lukisan mural ‘Amelia Mary Earhart’ di sini dinobatkan sebagai lukisan mural tiga dimensi terbesar di Malaysia oleh The Malaysia Book of Records (MBOR).

 

Lukisan mural itu menceritakan kisah penerbangan solo wanita pertama merentasi Lautan Atlantik, Amelia Mary Earhart yang singgah mengisi bahan api di Lapangan Terbang Tekah, di sini pada 20 Jun 1937.

 

Yang Dipertua MPT Borhan Abdul Halim berkata mural berukuran 14.60 meter tinggi dan 27.44 meter lebar itu dilukis oleh enam pelukis dan siap pada 31 Ogos lepas dengan peruntukan RM280,000 yang disumbangkan pihak swasta.

 

“Lukisan mural merupakan komponen warisan yang tidak ketara dan ia menggambarkan kegemilangan bandar Taiping pada masa silam di samping menyampaikan penceritaan lama yang tersirat.

 

“Hari ini kita mengabadikan peristiwa ini dengan mempamerkan wajah beliau di dinding bandar Taiping kerana beliau pernah singgah di sini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pengiktirafan ‘The Biggest OutDoor 3D Mural Painting’ di Jalan Abdul Jalil di sini, hari ini.

 

Pada majlis itu, MPT diwakili Borhan menerima sijil tersebut daripada Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran MBOR Edwin Yeoh Tiong Chin.

 

Selain itu, Borhan berkata sebanyak 12 lukisan mural sebesar lukisan Amelia Mary Earhart bakal dilukis di bandar Taiping bagi mengabadikan sejarah yang berlaku di Taiping sejak penubuhannya pada 1874.

 

Katanya satu daripada mural yang akan dihasilkan adalah sepanjang 670 meter di dinding Penjara Taiping pada tahun depan selain beberapa atlet yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara seperti Junaidah Aman (olahraga) dan M. Karathu (bola sepak).

 

“Dalam tempoh tiga bulan pertama sekurang-kurangnya enam mural yang pertama akan dilukis dan diteruskan dengan bakinya,” katanya.

Berita selanjutnya