Udang, rezeki nelayan selepas banjir

PASIR PUTEH, 27 Dis : “Rezeki musim tengkujuh,” kata Mohd Rosdi Mat, nelayan di Tok Bali yang memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan udang yang membanjiri kawasan pantai selepas berakhirnya banjir gelombang pertama mulai minggu ini.

 

Nelayan berusia 47 tahun itu berkata dia memperoleh pendapatan antara RM500  hingga RM600 sehari hasil jualan udang yang membantu meringankan beban untuk menampung keperluan keluarga termasuk dua anak di sekolah menengah dan seorang di sekolah rendah.

 

Udang itu terbahagi kepada empat kategori iaitu kelas A berharga RM38 sekilogram, udang solo (RM18 sekilogram),  udang rotan (RM9 sekilogram) dan udang halus (RM6 sekilogram), katanya  ketika ditemui di jeti “Pak Da Mat” di Tok Bali di sini.

 

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Semerak (Tok Bali), Zahari Samat berkata lebih 1,000 nelayan tradisional  di Tok Bali dan Bachok meraih pendapatan lumayan antara RM200 hingga RM600 sehari  hasil tangkapan udang.

 

Beliau berkata  udang daripada  spesies  solo, rotan dan nasi membanjiri kawasan berhampiran pantai pada kadar hampir tiga kali ganda lebih banyak daripada sebelum ini.

 

“Berbanding selepas banjir 2017 dan 2018, nelayan pantai hanya mendapat hasil antara RM100 hingga RM200 sehari,” katanya.

 

Zahari berkata,  pendapatan di luar dugaan itu dapat mengurangkan beban nelayan terutama dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak yang akan bermula minggu depan.

 

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Saripudin Ishak pula berkata,  sebahagian daripada 800  anggota persatuan itu turun ke laut sejak empat hari lepas untuk mencari rezeki.

 

Bagaimanapun katanya, pihaknya sudah memberi peringatan kepada nelayan terbabit untuk lebih berhati-hati berikutan musim tengkujuh hanya akan berakhir pada Mac  tahun depan.

 

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan (APMM), Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawi Yaacob berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan di sekitar perairan semalam dan mendapati keadaan cuaca berada pada tahap sederhana dan nelayan boleh turun ke laut.

 

Bagaimanapun tegasnya, nelayan terbabit mestilah mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan termasuk memakai jaket keselamatan, mempunyai bekalan minyak bot mencukupi dan pastikan keadaan enjin bot berfungsi dengan baik.

 

Berita selanjutnya