Galeri 3D Gua Kelam tarikan baharu di Perlis

PADANG BESAR, 28 Dis :  Galeri 3D Gua Kelam Perlis, yang memaparkan keunikan dan keindahan hutan tropika, flora dan fauna yang terdapat di Taman Negeri Perlis, antara tarikan baharu pengunjung ke Perlis bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

 

 

Tinjauan Bernama di sekitar galeri itu mendapati kira-kira 500 pengunjung teruja hadir pada hari pertama pembukaan Galeri 3D Gua Kelam yang dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula 26 Dis.

 

Pelancong tempatan dan luar negara masing-masing tidak melepaskan peluang ​​​​​​berswafoto dan memuat naik gambar keindahan dan keunikan galeri tersebut ke media sosial.

 

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNP), Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata paparan grafik tiga dimensi (3D) di galeri itu dilengkapi  bunyi-bunyian fauna, lukisan-lukisan 3D  serta  artifak lama yang terdapat dalam galeri tersebut memberi kesan simulasi sebenar Gua Kelam.

 

“Pengunjung dapat merasai sendiri keadaan sebenar gua yang gelap dan hutan Taman Negeri Perlis tanpa perlu meredah hutan atau memasuki gua,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

 

Katanya galeri itu juga memberi peluang kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk turut sama melihat dari  dekat keindahan khazanah alam itu.

 

Ag Shaffie berkata  antara tarikan yang terdapat di galeri adalah 15 gambar 3D objek yang terdapat di dalam gua kelam seperti keunikan  pokok Bogak yang berevolusi sejak 200 juta tahun lepas.

 

Katanya buat masa ini tiada bayaran masuk dikenakan ke Galeri 3D Gua Kelam dan pengunjung hanya perlu menunjukkan  tiket masuk ke Gua Kelam berharga RM2 kepada petugas galeri.

 

Majlis perasmian galeri yang menelan belanja kira-kira  RM200,000 itu dijangka dirasmikan  Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man pada awal Januari 2020.

Berita selanjutnya