Pesaka bakal rombak barisan pesilat dan jurulatih hadapi musim 2020

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) bakal melakukan rombakan barisan pesilat dan kejurulatihan sedia ada bagi menghadapi beberapa kejohanan penting pada tahun depan.

 

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, rombakan berkenaan bertujuan memantapkan skuad sedia ada, selain memberi peluang kepada pesilat baharu terutamanya mereka yang menyinar pada kejohanan kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor untuk mewakili skuad kebangsaan.

 

“Kita akan menggugurkan pesilat yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan kepada mereka pada tahun ini, walaupun pelbagai peringatan sudah diberikan kepada mereka dan penilaian prestasi berkenaan melibatkan kesemua 27 pesilat sedia ada selain tiga jurulatih.

 

“Saya sudah meminta pengurus pasukan, Datuk Osman Nok untuk menyerahkan laporan penuh kepada saya berhubung prestasi setiap pesilat kita sepanjang tahun ini untuk dinilai oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Penyediaan Atlet Kebangsaan Pesaka,” katanya kepada Bernama, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain memaklumkan jawatankuasa berkenaan dijangka mengadakan mesyuarat pada 4 atau 5 Januari depan bagi menentukan senarai baharu pesilat dan jurulatih sebelum membentangkan senarai penuh nama berkenaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) pada mesyuarat jawatankuasa kerja, pada Januari depan.

 

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain mendedahkan bahawa pesilat elit negara, Muhammad Faizul Mohd Nasir yang mengalami kecederaan serius di muka ketika beraksi pada Sukan SEA 2019 di Filipina awal bulan ini, sudah beransur pulih, sambil memaklumkan pesilat kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu sedang menjalani program rehabilitasi di Institut Sukan Negara.

 

Beliau memaklumkan penyertaan Muhammad Faizul Mohd Nasir dalam beberapa kejohanan antarabangsa pada awal tahun depan hanya akan diputuskan setelah pesilat berkenaan pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.

 

Skuad pencak silat negara dijangka menyertai tiga kejohanan antarabangsa pada awal tahun depan, bermula dengan Kejohanan Pencak Silat Terbuka Uzbekistan di Tashkent pada Januari, Kejohanan Empat Negara di Kuala Lumpur pada Februari dan Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium pada Mac.

 

Muhammad Faizul sebelum ini dilaporkan koma setelah terkena sepakan pesilat Filipina, Dines Dumaan pada aksi pusingan awal kelas Putera B (50-55kg) di Pusat Pameran dan Konvensyen Subic, Filipina pada 3 Dis lalu.

 

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu dilaporkan dikejarkan James L. Gordon Hospital dan Baypointe Hospital and Medical Center di sini, sebelum dirujuk kepada doktor pakar The Medical City, Clark susulan dua pusat perubatan berkenaan dikatakan kekurangan doktor pakar.

 

Berita selanjutnya